Isnin, Disember 21, 2009

Sistem minuman berperanti.

Saya sedang mencuba untuk memasang sistem minuman menggunakan peranti. Sistem perpaipannya telahpun siap sebulan lalu. Saya sudah cuba mencari peranti yang sesuai di kedai-kedai akuarium dan binatang kesayangan serta di kedai hardware tapi tidak berjumpa. Saya juga telah mencari di kedai-kedai perkakasan paip air. Tak juga jumpa. Sudahnya saya nekad untuk cuba membuat sendiri peranti tersebut. Saya beli bola besi "bearing" dan paip tembaga penghawa dingin bersaiz 1/4" atau dua hun. Beberapa kali cubaan dibuat untuk mendapatkan peranti yang sesuai. Dua biji bola bearing nampaknya tidak cukup berat untuk menahan air daripada keluar laju. Tiga biji agak sesuai. Dua hari saya menggunakan sistem ini. Hari ketiga bola dan tembaga mula berkarat dan air mula menitis secara berterusan. Saya memang ada membuat perbandingan kos jika menggunakan paip dan bola stainless steel tetapi kosnya menyamai harga "feeder bottle". Jadi tidak berbaloi untuk menggunakan bahan ini.


Minggu lepas saya telah menghantar paip tembaga itu ke kilang "chrome" dan sepatutnya boleh diambil Khamis lepas, tetapi saya agak sibuk dengan tender pembinaan dan hal imigresen pekerja-pekerja Indonesia saya. Sepanjang siang hari ini juga saya sibuk hingga tidak berkesempatan untuk singgah mengambilnya. Esok pula kami, lima keluarga, 31 orang semuanya (kecuali Saiful yang kena menjaga arnab-arnab) akan bermandi-manda di Lost World of Tambun atas permintaan anak-anak dan sepupu-sepupu mereka. Mesti habis di sana sepanjang hari juga....

Bola "bearing" yang telah ada tidak boleh dichromekan jadi terpaksalah saya beli bola stainless steel yang berharga RM1.40 sebiji. Stainless steel lebih berat dari besi keluli lembut (mild steel), jadi mungkin dua biji sudah memadai. Jika tidak, saya perlu cari spring pula untuk menahan bola-bola tersebut. Tidak berbaloi jika kena guna sehingga tiga biji bola. Baik beli sahaja feeder bottle dan cabut sahaja muncungnya. Lalu sambungkan sahaja ke sistem perpaipan yang telah siap itu.

Nanti saya akan kemaskini hal sistem minuman peranti ini. Yang penting kita kena cari bahan yang efektif, mudah diselenggara dan murah.

Semasa permulaan dulu saya ada beli pasu minum dan makan dari pasu tanah liat yang berharga antara Rm5.50 dan Rm9.00 sebiji. Ianya mahal, berat, mengambil ruang (space consuming) dan susah diselenggara. Saya ini agak cerewet fasal kebersihan jadi pasu-pasu itu saya cuci dua kali sehari! Ini baru 22 ekor. Saya kena fikirkan cara yang mudah dan murah jika mahu memperbesarkan ternakan saya nanti.

Saya juga adalah seorang pengamal kitar semula. Jadi dalam stor bawah tangga ada banyak botol-botol plastik kutipan setiap bulan (Saya jual segala barangan bolehkitarsemula setiap bulan ke keling botol).

Kini, saya telah gunakan botol plastik jus dan minuman berkarbonat (botol air mineral tidak sesuai, terlalu lembut) untuk bekas minuman dan makanan. Sudah dua hari saya cuba dan ianya amat memuaskan. Tiada tanda-tanda arnab menggigit botol-botol tersebut. Nanti saya sertakan foto. Saya harap ianya berpanjangan.

Rabu, Disember 16, 2009

Pak Lop dan Mak Lop

Pagi tadi selepas menghadiri lawatan tapak di USM, dan makan sushi di Queensbay Mall, saya dan anak-anak pergi ke kedai akuarium. Faqihah pula nakkan ayam piru atau belanda selepas semalam saya beli sepasang anak itik angsa.

Terdapat dua sangkar anak arnab Mix Anggora dan satu sangkar Lop Ear. Saya memang lama menginginkan Lop Ear, jadi saya beli sepasang anak Lop Ear seperti gambar yang dibawah. Ada seekor betina yang cantik berwarna kelabu tetapi bila saya periksa, punggungnya agak kotor. Jadi saya tidak mahu mengambil risiko terbeli arnab yang agak mahal ini yang mungkin mengalami cirit-birit. Kami belum namakan mereka lagi. Saya harap mereka membesar dengan sihat dan produktif.
Punyalah teruja dengan arnab ini, terlupa nak beli anak ayam belanda yang Faqihah minta. Hehe.

Selasa, Disember 15, 2009

Stripe dapat teman comel

Semalam dalam perjalanan pulang dari kedai chrome (saya sedang mencuba membuat sistem perpaipan air otomatik untuk reban kelompok arnab saya), saya ronda-ronda di Jalan Raja Uda. Kami ternampak sebuah kedai akuarium menjual arnab. Hanya tinggal seekor, kata tauke kedai. "Arnab banyak laku, satu hari mari stok, terus habis" katanya. Tanpa berfikir panjang, terus saja saya beli dia dan bawa pulang. Kami namakan dia Stephanie, untuk dijadikan kawan sangkar Stripe.




Comel, kan?

Ahad, Disember 13, 2009

Kawasan kepungan dan pondok teduhan.

Ini kawasan kepungan untuk anak-anak arnab yang dibuat di bawah tempat gantungan orkid. Arnab-arnab ini dilepaskan setiap pagi dan dimasukkan semula ke sel masing-masing sebelum maghrib. Dulu kawasan ini penuh dengan pokok ulam raja, kangkung, rumput sambar, mini Napier, bayam tanah, maman, dukung anak dan cekur yang sememangnya saya tanam. Sekarang dah botak kena makan hanya selepas 4 hari mereka dilepaskan di situ. Sekarang saya taburkan hijauan yang saya ambil dari sekitar rumah sebagai makanan tambahan mereka.
Ini pondok teduhan matahari yang saya dan makwe buat sendiri dari kayu pellet bata dan pelepah pinang raja yang sememangnya pelepahnya selalu digunting buang supaya tidak menghalang laluan kereta di halaman hadapan rumah. Selalunya saya bakar sahaja pelepah-pelapah ini, tapi sekarang saya anyam dan jadikan pondok teduhan arnab dewasa. Memang arnab cukup suka lepak dibawahnya.
Ini pula pondok teduhan hujan yang saya suruh Saiful buat dengan bahan-bahan yang sediada. Saya lapikkan bahagian bawah dengan kayu pellet bata supaya arnab tidak basah jika hujan turun dengan mengejut. Pondok ini ala-ala pondok Red Indian gitu. Saya mengambil ikhtibar dari kejadian hujan lebat yang mengejut tempoh hari hingga menyebabkan beberapa ekor arnab telah mati demam panas. Sekurang-kurangnya mereka punya tempat berlindung sementara jika hujan turun mengejut.

Qistina yang istimewa.

Saya dapat Qistina dari Abang Mail pada 2/10/2009. Pada 2/11/2009, Qistina melahirkan 5 ekor anak sempena perkahwinannya dengan Bandi, si New Zealand White dalam sangkar semasa perjalanan dari Bendang Kering ke Butterworth. Tepat sebulan.


Ini gambar Qistina ketika menyusukan anak-anaknya. Qistina mendapat jangkitan pada puting susunya dan kami tak perasan hinggalah pada 2/12/2009, dia demam kuat dan telah disuntik oleh Dr. Anthony. Menurut Dr, Qistina hanya mempunyai peluang 50-50 dan ternyata dua jam kemudian Qistina telah mati. Aduh...sedihnya. Entri ini lambat ditulis sebab sedih dengan kematiannya. Tapi anak-anak Qistina iaitu Jr 1, Jr 2 dan Jr 3 sihat wal afiat dan membesar dengan cepat dan gemuk. Selepas Qistina mati, kami susukan Jr-jr dengan susu yang dibeli di Pet Shop. Hanya 1 cc setiap seekor, dua kali sehari dengan menggunakan picagari. Alhamdulillah sekarang mereka sihat dan telahpun berhenti menyusu.

Sabtu, Disember 12, 2009

Anak Arnab Kuala Kangsar.

Si Kanon, betina menurut tuan kedai. Kepunyaan Tini.
Si Candak, betina rasanya. Sempena rupanya yang macam landak. Kepunyaan Azrul.
Si Yogurt, si mata biru, betina dan Si Oreo @ Komando, sebab lasak dan pandai panjat pagar. Oreo ni selalu keluar dari kawasan kepungan. Letih mencarinya. Sudahnya duduk dalam sel sahajalah. Bila ada orang tunggu di kawasan kepungan, baru lepaskan Si Oreo ni.

Rabu, Disember 09, 2009

Tak semudah yang disangka.

Membela arnab bukanlah semudah yang disangka. Kadar kematian agak tinggi. Tambahan pula dengan keadaan cuaca sekarang yang kerap hujan lebat dan berpanjangan. Maklumlah, kita dalam musim tengkujuh sekarang ini. Banjir juga terjadi di sesetengah negeri.

Kematian demi kematian berlaku. Di mulai dengan anak arnab putih yang belum sempat diberi nama atau difotokan, yang diberi Abang Mail. Kemudian 2 ekor anak Qistina yang hanya mampu hidup selama 4 hari.

Ada satu hari hujan turun dengan lebat, berangin dan mendadak. Kain di ampaian pun tak sempat diangkit. Reban arnab hanya sempat ditutup selepas beberapa ketika. Ada arnab yang telah basah kena tempias hujan. Keesokan harinya, tiada pula apa-apa petanda negatif pada arnab-arnab tersebut sehinggalah beberapa hari kemudian. Yori, Cicak dan Angie kurang berselera untuk makan. Rossa pula menurut sehari kemudian. Saiful telah bawa mereka ke Klinik Anthony di Jalan Raja Uda, tetapi takdir telah tertulis. Angie, Cicak dan Rossa mati juga beberapa hari kemudian. Sedihnya kami..

Pada Sabtu lepas, kami sekeluarga balik ke Kuala Kangsar menghadiri khenduri perkahwinan Zira, anak saudara makwe. Kemudian kami singgah di kedai haiwan di Kuala Kangsar. Saya beli 4 ekor arnab yang comel-comel yang saya kira hanya arnab kampung dengan harga yang agak murah selepas meminta diskaun.

Saya juga ada melayari laman-laman web dan terjumpa mengenai "Stripe for adoption". Maka saya telah menghubungi Trina, empunya arnab tersebut. Beliau dan keluarga telah membela Stripe selama hampir tiga tahun dan akan pulang ke Australia sebelum Krismas. Jadi saya menawarkan diri untuk membela Stripe. Stripe adalah arnab yang terlatih dan "toilet trained". Maka saya bela Stripe di dalam rumah. Suami dan anak-anak juga gembira menerima Stripe.

Hairan, alahan saya pula telah hilang selepas seminggu sahaja saya bertopeng. Tapi yelah, Alhamdullillah sangat. Saya rasa gembira menghabiskan masa lapang dengan bermain dengan arnab-arnab ini. Begitu juga dengan anak-anak dan saudara mara sekeliling.