Isnin, Disember 21, 2009
Sistem minuman berperanti.
Minggu lepas saya telah menghantar paip tembaga itu ke kilang "chrome" dan sepatutnya boleh diambil Khamis lepas, tetapi saya agak sibuk dengan tender pembinaan dan hal imigresen pekerja-pekerja Indonesia saya. Sepanjang siang hari ini juga saya sibuk hingga tidak berkesempatan untuk singgah mengambilnya. Esok pula kami, lima keluarga, 31 orang semuanya (kecuali Saiful yang kena menjaga arnab-arnab) akan bermandi-manda di Lost World of Tambun atas permintaan anak-anak dan sepupu-sepupu mereka. Mesti habis di sana sepanjang hari juga....
Bola "bearing" yang telah ada tidak boleh dichromekan jadi terpaksalah saya beli bola stainless steel yang berharga RM1.40 sebiji. Stainless steel lebih berat dari besi keluli lembut (mild steel), jadi mungkin dua biji sudah memadai. Jika tidak, saya perlu cari spring pula untuk menahan bola-bola tersebut. Tidak berbaloi jika kena guna sehingga tiga biji bola. Baik beli sahaja feeder bottle dan cabut sahaja muncungnya. Lalu sambungkan sahaja ke sistem perpaipan yang telah siap itu.
Nanti saya akan kemaskini hal sistem minuman peranti ini. Yang penting kita kena cari bahan yang efektif, mudah diselenggara dan murah.
Semasa permulaan dulu saya ada beli pasu minum dan makan dari pasu tanah liat yang berharga antara Rm5.50 dan Rm9.00 sebiji. Ianya mahal, berat, mengambil ruang (space consuming) dan susah diselenggara. Saya ini agak cerewet fasal kebersihan jadi pasu-pasu itu saya cuci dua kali sehari! Ini baru 22 ekor. Saya kena fikirkan cara yang mudah dan murah jika mahu memperbesarkan ternakan saya nanti.
Saya juga adalah seorang pengamal kitar semula. Jadi dalam stor bawah tangga ada banyak botol-botol plastik kutipan setiap bulan (Saya jual segala barangan bolehkitarsemula setiap bulan ke keling botol).
Kini, saya telah gunakan botol plastik jus dan minuman berkarbonat (botol air mineral tidak sesuai, terlalu lembut) untuk bekas minuman dan makanan. Sudah dua hari saya cuba dan ianya amat memuaskan. Tiada tanda-tanda arnab menggigit botol-botol tersebut. Nanti saya sertakan foto. Saya harap ianya berpanjangan.
Rabu, Disember 16, 2009
Pak Lop dan Mak Lop
Terdapat dua sangkar anak arnab Mix Anggora dan satu sangkar Lop Ear. Saya memang lama menginginkan Lop Ear, jadi saya beli sepasang anak Lop Ear seperti gambar yang dibawah. Ada seekor betina yang cantik berwarna kelabu tetapi bila saya periksa, punggungnya agak kotor. Jadi saya tidak mahu mengambil risiko terbeli arnab yang agak mahal ini yang mungkin mengalami cirit-birit. Kami belum namakan mereka lagi. Saya harap mereka membesar dengan sihat dan produktif.
Selasa, Disember 15, 2009
Stripe dapat teman comel
Comel, kan?
Ahad, Disember 13, 2009
Kawasan kepungan dan pondok teduhan.
Ini pula pondok teduhan hujan yang saya suruh Saiful buat dengan bahan-bahan yang sediada. Saya lapikkan bahagian bawah dengan kayu pellet bata supaya arnab tidak basah jika hujan turun dengan mengejut. Pondok ini ala-ala pondok Red Indian gitu. Saya mengambil ikhtibar dari kejadian hujan lebat yang mengejut tempoh hari hingga menyebabkan beberapa ekor arnab telah mati demam panas. Sekurang-kurangnya mereka punya tempat berlindung sementara jika hujan turun mengejut.
Qistina yang istimewa.
Sabtu, Disember 12, 2009
Anak Arnab Kuala Kangsar.
Si Candak, betina rasanya. Sempena rupanya yang macam landak. Kepunyaan Azrul.
Si Yogurt, si mata biru, betina dan Si Oreo @ Komando, sebab lasak dan pandai panjat pagar. Oreo ni selalu keluar dari kawasan kepungan. Letih mencarinya. Sudahnya duduk dalam sel sahajalah. Bila ada orang tunggu di kawasan kepungan, baru lepaskan Si Oreo ni.
Rabu, Disember 09, 2009
Tak semudah yang disangka.
Kematian demi kematian berlaku. Di mulai dengan anak arnab putih yang belum sempat diberi nama atau difotokan, yang diberi Abang Mail. Kemudian 2 ekor anak Qistina yang hanya mampu hidup selama 4 hari.
Ada satu hari hujan turun dengan lebat, berangin dan mendadak. Kain di ampaian pun tak sempat diangkit. Reban arnab hanya sempat ditutup selepas beberapa ketika. Ada arnab yang telah basah kena tempias hujan. Keesokan harinya, tiada pula apa-apa petanda negatif pada arnab-arnab tersebut sehinggalah beberapa hari kemudian. Yori, Cicak dan Angie kurang berselera untuk makan. Rossa pula menurut sehari kemudian. Saiful telah bawa mereka ke Klinik Anthony di Jalan Raja Uda, tetapi takdir telah tertulis. Angie, Cicak dan Rossa mati juga beberapa hari kemudian. Sedihnya kami..
Pada Sabtu lepas, kami sekeluarga balik ke Kuala Kangsar menghadiri khenduri perkahwinan Zira, anak saudara makwe. Kemudian kami singgah di kedai haiwan di Kuala Kangsar. Saya beli 4 ekor arnab yang comel-comel yang saya kira hanya arnab kampung dengan harga yang agak murah selepas meminta diskaun.
Saya juga ada melayari laman-laman web dan terjumpa mengenai "Stripe for adoption". Maka saya telah menghubungi Trina, empunya arnab tersebut. Beliau dan keluarga telah membela Stripe selama hampir tiga tahun dan akan pulang ke Australia sebelum Krismas. Jadi saya menawarkan diri untuk membela Stripe. Stripe adalah arnab yang terlatih dan "toilet trained". Maka saya bela Stripe di dalam rumah. Suami dan anak-anak juga gembira menerima Stripe.
Hairan, alahan saya pula telah hilang selepas seminggu sahaja saya bertopeng. Tapi yelah, Alhamdullillah sangat. Saya rasa gembira menghabiskan masa lapang dengan bermain dengan arnab-arnab ini. Begitu juga dengan anak-anak dan saudara mara sekeliling.
Selasa, November 10, 2009
Anak Qistina dah tumbuh bulu.
Jumaat, November 06, 2009
Anak Qistina tinggal 3 ekor.
Selasa, November 03, 2009
Qistina beranak lima.
Ahad, November 01, 2009
Penamaan Arnab
Bonia. Sempena beg tangan Bonia. haha. Betina. Tinggal di sel 1-5.
Beyonce. Sempena bulunya yang coklat seperti kulit penyanyi terkenal tu.. Betina. Tinggal di sel 1-6.Slyvia. Sempena bulunya berwarna perak atau silver. Betina. Tinggal di sel 1-7.Bandi. Sempena seorang pahlawan di Indonesia. Diberinama oleh Jaswadi, pekerja Indonesia saya. Jantan. Tinggal di sel 1-8.Qistina. Sempena SpaQ. haha. Betina. Tinggal di sel 1-9. Qistina sedang bunting. Jadi dia tinggal di wad bersalin.
Yuri. Sempena angkasawan. Anggora jantan. Tinggal di sel 2-3.Angie. Sempena Anggora betina. Tinggal di sel 2-4.
Elvis. Sempena jambulnya yang macho seperti sideburn penyanyi legenda itu. Lionhead jantan. Tinggal di sel 2-5.
Rabu, Oktober 14, 2009
Taman Arnab Zamrud Dah Siap
Peminat-peminat arnab ini pasti menghabiskan masa petang di taman arnab ini. Berapa lama akan bertahan tak tahulah. Halaman depan sebelah kanan rumah saya yang merupakan taman melati dan wakaf kayu bakau dalam proses untuk diubahsuai menjadi kawasan garaj. Anjung kereta sediada yang boleh memuatkan dua buah kereta sudah tidak mencukupi tidak lama lagi bila anak sulung yang baru dapat lesen memandu, terketaq-ketaq minta dibelikan kereta juga. Tapi sebenarnya kereta ketiga saya pun sekarang ini menumpang tempat letak kereta di rumah sebelah. Hehe, menyalahkan anak pulak....
Sabtu, Oktober 10, 2009
Isnin, Oktober 05, 2009
Alahai! Saya Alah Arnab.
Sabtu, Oktober 03, 2009
Stok Arnab Dah Sampai
Jumaat, Oktober 02, 2009
Rumah Arnab Dalam Pembikinan
Khamis, Oktober 01, 2009
Permulaan Arnab Zamrud
"Ada 66 ekor kesemuanya. Enam bulan dulu ada dua pasang sahaja," kata Abang Mail.
Abang Mail mempelawa untuk mengambil sepasang dua ekor arnab. Anak-anak menjerit keriangan dan meminta izin saya dan suami. Saya tidak membantah sebab dulu-dulu semasa saya kecil dulupun emak ada membela arnab dan semua arnab dikatakan dinamakan atas nama saya konon-kononnya rasi dengan saya sebagaimana adik saya Sabrina rasi membela kambing. Entahlah, itu kepercayaan orang lama, tak tahu pulak atas dasar apa. Saya terlalu kecil ketika itu untuk mengerti.
Suami agak keberatan, lalu memberi syarat, jika mereka berani memegang dan bermain dengan arnab-arnab tersebut baru boleh bela. Apalagi, mereka terus bermain dan bergambar dengan arnab-arnab tersebut. Saya tidak pula melihat mereka kerana sibuk bersilaturrahim dengan saudara mara dan ipar duai. Mereka habiskan masa bertandang dengan bermain dengan anak-anak arnab. Hidangan bihun tomyam dan kuih-muih tidak dipedulikan lagi.
Bila hampir waktu pulang, ayahnya tidak benarkan pula membawa arnab balik ke Pulau Pinang kerana takut kereta mewahnya busuk. Janjinya, Sabtu nanti, ketika menghadiri kenduri pertunangan anak Abang Mail, barulah arnab akan dibawa balik dengan kereta Frontier. Abang Mail pesan untuk menyiapkan sangkar terlebih dahulu.
Anak-anak dengan arnab Abang Mail.
Bila sampai rumah, anak-anak mendesak saya membuat sangkar. Saya kata, nantilah, minggu ini emak sibuk dan pekerja-pekerja emakpun masih bercuti raya lagi. Sabtu itu, mereka pulang dari kenduri pertunangan dengan rasa hampa.
"Tau dah. Takkan dapat bela punya. Emak dengan ayah ni memangnya... mimpilah kalau dapat bela. Dulu Tok Teh nak bagi kucing siam yang cantik giler tu pun, ayah tak bagi..."
Saya diam sahaja. Faham dengan kekecewaan mereka. Saya memang suka kucing dan arnab, tapi bila suami tak suka terpaksalah saya pendamkan saja.
Malam itu, saya pujuk suami.
"Bolehlah, kesian bebudak (dalam hati, aku juga, hehe). Bukan bela dalam rumah macam kucing. Saya cadang nak convert pondok mainan bebudak tu ke reban arnab. Pondok tu pun mereka dah tak main lagi. Depa dah besar."
"Aku takut depa hangat-hangat tahi ayam je. Nanti hang juga yang teruk."
"Tak pe. Saiful ada. Saiful minat bela arnab juga. Kat rumah dia dulu memang ada bela arnab, merpati, ayam serama, burung dan entah apa apa lagi. Dia pun berminat sangat nak bela arnab di sini. Bolehlah ye..."
"Kut suka hang la..."
Yahoo....! Hehe. Dalam hati saja.
Selepas seminggu berlalu, maka tadi, saya mengarah Saiful dan Marsuh menukarkan pondok mainan kepada reban arnab. Pondok itu bersaiz 2m x 2m x 1.4m tinggi, berbumbung metaldeck, berlantaikan kayu dan berdindingkan kayu jarang-jarang separuh ketinggian dinding di dua sisi sahaja. Saya beli segulung jaring dawai bersalut pvc bersaiz 1.5inci x 0.5inci x 3kaki tinggi x 50 kaki panjang x 18g berharga RM150.00.
Lantai kayu dan dinding ditanggalkan. Kemudian menggunakan kayu-kayu lebihan dari projek masjid hari itu, rangka dibina. Saya membuat rumah cluster dua tingkat untuk arnab. Setiap tingkat ada lapan petak bersaiz 0.5m x 0.65m x 0.5m tinggi dan dua petak 1.0m x 0.65m x 0.5 m tinggi. Jadi kesemuanya ada dua puluh petak. Hari ini dah siap kesemua rangka tingkat bawah. Esok akan dipasang jaring dawai untuk lantai, dinding dan pintu. Ruang untuk plastik condong perangkap najis juga telah disediakan. Plastik itu belum saya beli lagi. Saya cadang nak pergi ke kilang Kenny SiPengiklan untuk lebihan "polycarbanate panel". Pasti Kenny ada banyak reja-reja polycarbonate tersebut yang beliau gunakan sebagai panel papan iklan. Untuk palung (gutter) saya bercadang untuk gunakan paip UPVC 4inci yang dibelah dua sahaja, yang memang banyak terdapat dalam stor. Nanti saya sertakan gambar rumah cluster arnab tersebut.
Esok juga Saiful akan balik ke kampung, ke rumah Abang Mail untuk mengambil arnab. Saya telahpun menelefon memaklumi beliau.
Arnab mungkin dapat dua pasang sahaja. Tetapi saya sengaja memaksimakan keterbolehjumlahan petak dari pondok mainan sediada tersebut. Petak kosong boleh diisi dengan anak ayam atau dibiarkan kosong sementara waktu. InsyaAllah jika arnab membiak, tidak perlulah saya mengubahsuai rumah arnab lagi.
Semasa kerja-kerja membuat rumah arnab dijalankan, ternyata suami juga teruja. Hehe. Senang hati saya.