Khamis, Oktober 01, 2009

Permulaan Arnab Zamrud


Di Aidilfitri yang lalu, kami sekeluarga balik ke kampung dan melawat abang saya di Bendang Kering, Sayung, Kuala Kangsar. Anjung kereta rumah Abang Mail dipenuhi dengan sangkar-sangkar arnab dan tentunya arnab-arnab comel. Anak-anak saya teruja dan geramkan arnab-arnab itu.

"Ada 66 ekor kesemuanya. Enam bulan dulu ada dua pasang sahaja," kata Abang Mail.

Abang Mail mempelawa untuk mengambil sepasang dua ekor arnab. Anak-anak menjerit keriangan dan meminta izin saya dan suami. Saya tidak membantah sebab dulu-dulu semasa saya kecil dulupun emak ada membela arnab dan semua arnab dikatakan dinamakan atas nama saya konon-kononnya rasi dengan saya sebagaimana adik saya Sabrina rasi membela kambing. Entahlah, itu kepercayaan orang lama, tak tahu pulak atas dasar apa. Saya terlalu kecil ketika itu untuk mengerti.

Suami agak keberatan, lalu memberi syarat, jika mereka berani memegang dan bermain dengan arnab-arnab tersebut baru boleh bela. Apalagi, mereka terus bermain dan bergambar dengan arnab-arnab tersebut. Saya tidak pula melihat mereka kerana sibuk bersilaturrahim dengan saudara mara dan ipar duai. Mereka habiskan masa bertandang dengan bermain dengan anak-anak arnab. Hidangan bihun tomyam dan kuih-muih tidak dipedulikan lagi.

Bila hampir waktu pulang, ayahnya tidak benarkan pula membawa arnab balik ke Pulau Pinang kerana takut kereta mewahnya busuk. Janjinya, Sabtu nanti, ketika menghadiri kenduri pertunangan anak Abang Mail, barulah arnab akan dibawa balik dengan kereta Frontier. Abang Mail pesan untuk menyiapkan sangkar terlebih dahulu.

Anak-anak dengan arnab Abang Mail.


Bila sampai rumah, anak-anak mendesak saya membuat sangkar. Saya kata, nantilah, minggu ini emak sibuk dan pekerja-pekerja emakpun masih bercuti raya lagi. Sabtu itu, mereka pulang dari kenduri pertunangan dengan rasa hampa.

"Tau dah. Takkan dapat bela punya. Emak dengan ayah ni memangnya... mimpilah kalau dapat bela. Dulu Tok Teh nak bagi kucing siam yang cantik giler tu pun, ayah tak bagi..."

Saya diam sahaja. Faham dengan kekecewaan mereka. Saya memang suka kucing dan arnab, tapi bila suami tak suka terpaksalah saya pendamkan saja.

Malam itu, saya pujuk suami.

"Bolehlah, kesian bebudak (dalam hati, aku juga, hehe). Bukan bela dalam rumah macam kucing. Saya cadang nak convert pondok mainan bebudak tu ke reban arnab. Pondok tu pun mereka dah tak main lagi. Depa dah besar."

"Aku takut depa hangat-hangat tahi ayam je. Nanti hang juga yang teruk."

"Tak pe. Saiful ada. Saiful minat bela arnab juga. Kat rumah dia dulu memang ada bela arnab, merpati, ayam serama, burung dan entah apa apa lagi. Dia pun berminat sangat nak bela arnab di sini. Bolehlah ye..."

"Kut suka hang la..."

Yahoo....! Hehe. Dalam hati saja.

Selepas seminggu berlalu, maka tadi, saya mengarah Saiful dan Marsuh menukarkan pondok mainan kepada reban arnab. Pondok itu bersaiz 2m x 2m x 1.4m tinggi, berbumbung metaldeck, berlantaikan kayu dan berdindingkan kayu jarang-jarang separuh ketinggian dinding di dua sisi sahaja. Saya beli segulung jaring dawai bersalut pvc bersaiz 1.5inci x 0.5inci x 3kaki tinggi x 50 kaki panjang x 18g berharga RM150.00.

Lantai kayu dan dinding ditanggalkan. Kemudian menggunakan kayu-kayu lebihan dari projek masjid hari itu, rangka dibina. Saya membuat rumah cluster dua tingkat untuk arnab. Setiap tingkat ada lapan petak bersaiz 0.5m x 0.65m x 0.5m tinggi dan dua petak 1.0m x 0.65m x 0.5 m tinggi. Jadi kesemuanya ada dua puluh petak. Hari ini dah siap kesemua rangka tingkat bawah. Esok akan dipasang jaring dawai untuk lantai, dinding dan pintu. Ruang untuk plastik condong perangkap najis juga telah disediakan. Plastik itu belum saya beli lagi. Saya cadang nak pergi ke kilang Kenny SiPengiklan untuk lebihan "polycarbanate panel". Pasti Kenny ada banyak reja-reja polycarbonate tersebut yang beliau gunakan sebagai panel papan iklan. Untuk palung (gutter) saya bercadang untuk gunakan paip UPVC 4inci yang dibelah dua sahaja, yang memang banyak terdapat dalam stor. Nanti saya sertakan gambar rumah cluster arnab tersebut.

Esok juga Saiful akan balik ke kampung, ke rumah Abang Mail untuk mengambil arnab. Saya telahpun menelefon memaklumi beliau.

Arnab mungkin dapat dua pasang sahaja. Tetapi saya sengaja memaksimakan keterbolehjumlahan petak dari pondok mainan sediada tersebut. Petak kosong boleh diisi dengan anak ayam atau dibiarkan kosong sementara waktu. InsyaAllah jika arnab membiak, tidak perlulah saya mengubahsuai rumah arnab lagi.

Semasa kerja-kerja membuat rumah arnab dijalankan, ternyata suami juga teruja. Hehe. Senang hati saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan