Isnin, Disember 21, 2009

Sistem minuman berperanti.

Saya sedang mencuba untuk memasang sistem minuman menggunakan peranti. Sistem perpaipannya telahpun siap sebulan lalu. Saya sudah cuba mencari peranti yang sesuai di kedai-kedai akuarium dan binatang kesayangan serta di kedai hardware tapi tidak berjumpa. Saya juga telah mencari di kedai-kedai perkakasan paip air. Tak juga jumpa. Sudahnya saya nekad untuk cuba membuat sendiri peranti tersebut. Saya beli bola besi "bearing" dan paip tembaga penghawa dingin bersaiz 1/4" atau dua hun. Beberapa kali cubaan dibuat untuk mendapatkan peranti yang sesuai. Dua biji bola bearing nampaknya tidak cukup berat untuk menahan air daripada keluar laju. Tiga biji agak sesuai. Dua hari saya menggunakan sistem ini. Hari ketiga bola dan tembaga mula berkarat dan air mula menitis secara berterusan. Saya memang ada membuat perbandingan kos jika menggunakan paip dan bola stainless steel tetapi kosnya menyamai harga "feeder bottle". Jadi tidak berbaloi untuk menggunakan bahan ini.


Minggu lepas saya telah menghantar paip tembaga itu ke kilang "chrome" dan sepatutnya boleh diambil Khamis lepas, tetapi saya agak sibuk dengan tender pembinaan dan hal imigresen pekerja-pekerja Indonesia saya. Sepanjang siang hari ini juga saya sibuk hingga tidak berkesempatan untuk singgah mengambilnya. Esok pula kami, lima keluarga, 31 orang semuanya (kecuali Saiful yang kena menjaga arnab-arnab) akan bermandi-manda di Lost World of Tambun atas permintaan anak-anak dan sepupu-sepupu mereka. Mesti habis di sana sepanjang hari juga....

Bola "bearing" yang telah ada tidak boleh dichromekan jadi terpaksalah saya beli bola stainless steel yang berharga RM1.40 sebiji. Stainless steel lebih berat dari besi keluli lembut (mild steel), jadi mungkin dua biji sudah memadai. Jika tidak, saya perlu cari spring pula untuk menahan bola-bola tersebut. Tidak berbaloi jika kena guna sehingga tiga biji bola. Baik beli sahaja feeder bottle dan cabut sahaja muncungnya. Lalu sambungkan sahaja ke sistem perpaipan yang telah siap itu.

Nanti saya akan kemaskini hal sistem minuman peranti ini. Yang penting kita kena cari bahan yang efektif, mudah diselenggara dan murah.

Semasa permulaan dulu saya ada beli pasu minum dan makan dari pasu tanah liat yang berharga antara Rm5.50 dan Rm9.00 sebiji. Ianya mahal, berat, mengambil ruang (space consuming) dan susah diselenggara. Saya ini agak cerewet fasal kebersihan jadi pasu-pasu itu saya cuci dua kali sehari! Ini baru 22 ekor. Saya kena fikirkan cara yang mudah dan murah jika mahu memperbesarkan ternakan saya nanti.

Saya juga adalah seorang pengamal kitar semula. Jadi dalam stor bawah tangga ada banyak botol-botol plastik kutipan setiap bulan (Saya jual segala barangan bolehkitarsemula setiap bulan ke keling botol).

Kini, saya telah gunakan botol plastik jus dan minuman berkarbonat (botol air mineral tidak sesuai, terlalu lembut) untuk bekas minuman dan makanan. Sudah dua hari saya cuba dan ianya amat memuaskan. Tiada tanda-tanda arnab menggigit botol-botol tersebut. Nanti saya sertakan foto. Saya harap ianya berpanjangan.

Rabu, Disember 16, 2009

Pak Lop dan Mak Lop

Pagi tadi selepas menghadiri lawatan tapak di USM, dan makan sushi di Queensbay Mall, saya dan anak-anak pergi ke kedai akuarium. Faqihah pula nakkan ayam piru atau belanda selepas semalam saya beli sepasang anak itik angsa.

Terdapat dua sangkar anak arnab Mix Anggora dan satu sangkar Lop Ear. Saya memang lama menginginkan Lop Ear, jadi saya beli sepasang anak Lop Ear seperti gambar yang dibawah. Ada seekor betina yang cantik berwarna kelabu tetapi bila saya periksa, punggungnya agak kotor. Jadi saya tidak mahu mengambil risiko terbeli arnab yang agak mahal ini yang mungkin mengalami cirit-birit. Kami belum namakan mereka lagi. Saya harap mereka membesar dengan sihat dan produktif.
Punyalah teruja dengan arnab ini, terlupa nak beli anak ayam belanda yang Faqihah minta. Hehe.

Selasa, Disember 15, 2009

Stripe dapat teman comel

Semalam dalam perjalanan pulang dari kedai chrome (saya sedang mencuba membuat sistem perpaipan air otomatik untuk reban kelompok arnab saya), saya ronda-ronda di Jalan Raja Uda. Kami ternampak sebuah kedai akuarium menjual arnab. Hanya tinggal seekor, kata tauke kedai. "Arnab banyak laku, satu hari mari stok, terus habis" katanya. Tanpa berfikir panjang, terus saja saya beli dia dan bawa pulang. Kami namakan dia Stephanie, untuk dijadikan kawan sangkar Stripe.




Comel, kan?

Ahad, Disember 13, 2009

Kawasan kepungan dan pondok teduhan.

Ini kawasan kepungan untuk anak-anak arnab yang dibuat di bawah tempat gantungan orkid. Arnab-arnab ini dilepaskan setiap pagi dan dimasukkan semula ke sel masing-masing sebelum maghrib. Dulu kawasan ini penuh dengan pokok ulam raja, kangkung, rumput sambar, mini Napier, bayam tanah, maman, dukung anak dan cekur yang sememangnya saya tanam. Sekarang dah botak kena makan hanya selepas 4 hari mereka dilepaskan di situ. Sekarang saya taburkan hijauan yang saya ambil dari sekitar rumah sebagai makanan tambahan mereka.
Ini pondok teduhan matahari yang saya dan makwe buat sendiri dari kayu pellet bata dan pelepah pinang raja yang sememangnya pelepahnya selalu digunting buang supaya tidak menghalang laluan kereta di halaman hadapan rumah. Selalunya saya bakar sahaja pelepah-pelapah ini, tapi sekarang saya anyam dan jadikan pondok teduhan arnab dewasa. Memang arnab cukup suka lepak dibawahnya.
Ini pula pondok teduhan hujan yang saya suruh Saiful buat dengan bahan-bahan yang sediada. Saya lapikkan bahagian bawah dengan kayu pellet bata supaya arnab tidak basah jika hujan turun dengan mengejut. Pondok ini ala-ala pondok Red Indian gitu. Saya mengambil ikhtibar dari kejadian hujan lebat yang mengejut tempoh hari hingga menyebabkan beberapa ekor arnab telah mati demam panas. Sekurang-kurangnya mereka punya tempat berlindung sementara jika hujan turun mengejut.

Qistina yang istimewa.

Saya dapat Qistina dari Abang Mail pada 2/10/2009. Pada 2/11/2009, Qistina melahirkan 5 ekor anak sempena perkahwinannya dengan Bandi, si New Zealand White dalam sangkar semasa perjalanan dari Bendang Kering ke Butterworth. Tepat sebulan.


Ini gambar Qistina ketika menyusukan anak-anaknya. Qistina mendapat jangkitan pada puting susunya dan kami tak perasan hinggalah pada 2/12/2009, dia demam kuat dan telah disuntik oleh Dr. Anthony. Menurut Dr, Qistina hanya mempunyai peluang 50-50 dan ternyata dua jam kemudian Qistina telah mati. Aduh...sedihnya. Entri ini lambat ditulis sebab sedih dengan kematiannya. Tapi anak-anak Qistina iaitu Jr 1, Jr 2 dan Jr 3 sihat wal afiat dan membesar dengan cepat dan gemuk. Selepas Qistina mati, kami susukan Jr-jr dengan susu yang dibeli di Pet Shop. Hanya 1 cc setiap seekor, dua kali sehari dengan menggunakan picagari. Alhamdulillah sekarang mereka sihat dan telahpun berhenti menyusu.

Sabtu, Disember 12, 2009

Anak Arnab Kuala Kangsar.

Si Kanon, betina menurut tuan kedai. Kepunyaan Tini.
Si Candak, betina rasanya. Sempena rupanya yang macam landak. Kepunyaan Azrul.
Si Yogurt, si mata biru, betina dan Si Oreo @ Komando, sebab lasak dan pandai panjat pagar. Oreo ni selalu keluar dari kawasan kepungan. Letih mencarinya. Sudahnya duduk dalam sel sahajalah. Bila ada orang tunggu di kawasan kepungan, baru lepaskan Si Oreo ni.

Rabu, Disember 09, 2009

Tak semudah yang disangka.

Membela arnab bukanlah semudah yang disangka. Kadar kematian agak tinggi. Tambahan pula dengan keadaan cuaca sekarang yang kerap hujan lebat dan berpanjangan. Maklumlah, kita dalam musim tengkujuh sekarang ini. Banjir juga terjadi di sesetengah negeri.

Kematian demi kematian berlaku. Di mulai dengan anak arnab putih yang belum sempat diberi nama atau difotokan, yang diberi Abang Mail. Kemudian 2 ekor anak Qistina yang hanya mampu hidup selama 4 hari.

Ada satu hari hujan turun dengan lebat, berangin dan mendadak. Kain di ampaian pun tak sempat diangkit. Reban arnab hanya sempat ditutup selepas beberapa ketika. Ada arnab yang telah basah kena tempias hujan. Keesokan harinya, tiada pula apa-apa petanda negatif pada arnab-arnab tersebut sehinggalah beberapa hari kemudian. Yori, Cicak dan Angie kurang berselera untuk makan. Rossa pula menurut sehari kemudian. Saiful telah bawa mereka ke Klinik Anthony di Jalan Raja Uda, tetapi takdir telah tertulis. Angie, Cicak dan Rossa mati juga beberapa hari kemudian. Sedihnya kami..

Pada Sabtu lepas, kami sekeluarga balik ke Kuala Kangsar menghadiri khenduri perkahwinan Zira, anak saudara makwe. Kemudian kami singgah di kedai haiwan di Kuala Kangsar. Saya beli 4 ekor arnab yang comel-comel yang saya kira hanya arnab kampung dengan harga yang agak murah selepas meminta diskaun.

Saya juga ada melayari laman-laman web dan terjumpa mengenai "Stripe for adoption". Maka saya telah menghubungi Trina, empunya arnab tersebut. Beliau dan keluarga telah membela Stripe selama hampir tiga tahun dan akan pulang ke Australia sebelum Krismas. Jadi saya menawarkan diri untuk membela Stripe. Stripe adalah arnab yang terlatih dan "toilet trained". Maka saya bela Stripe di dalam rumah. Suami dan anak-anak juga gembira menerima Stripe.

Hairan, alahan saya pula telah hilang selepas seminggu sahaja saya bertopeng. Tapi yelah, Alhamdullillah sangat. Saya rasa gembira menghabiskan masa lapang dengan bermain dengan arnab-arnab ini. Begitu juga dengan anak-anak dan saudara mara sekeliling.

Selasa, November 10, 2009

Anak Qistina dah tumbuh bulu.

Ini gambar terbaru anak-anak Qistina. Kesemuanya berbulu warna putih seperti Qistina dan bapanya Bandi si New Zealand White. Qistina nampaknya sayangkan dan menjaga anak-anaknya dengan baik.

Jumaat, November 06, 2009

Anak Qistina tinggal 3 ekor.

Pagi-pagi tadi, Sepul menelefon saya yang berada di Ipoh menemani Azrul yang mewakili Pulau Pinang dalam perlawanan persahabatan bowling antara Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Sepul memberitahu yang dua ekor anak Qistina telah mati kurus kering kemungkinan tidak mendapat susu. Yang 3 ekor lagi memang gemuk dan sihat. Tinggallah tiga yang berwarna merah.

Selasa, November 03, 2009

Qistina beranak lima.

Pagi-pagi tadi, saya lihat banyak bulu-bulu yang dicabut dalam kotak sarang atau wad bersalin 1-9 yang didiami oleh Qistina. Ingatkan Qistina sedang menyediakan kotaknya tapi rupa-rupanya Qistina telahpun bersalin. Saya jengukkan kepala ke dalam kotak dan saya lihat ada lima ekor anak arnab yang agak besar juga pada pendapat saya. Empat ekor berwarna merah dan seekor berwarna kelabu. Saya ingat nak tambahkan kertas suratkhabar yang telah dicarik-carik kedalam kotak sarang tapi Qistina pula mula memakan kertas-kertas tersebut. Saya kutip balik dan buang. Saya rasa bulunya sudah cukup untuk memanaskan anak-anaknya. Harap anak-anak ini akan membesar sihat dan comel.




Ahad, November 01, 2009

Penamaan Arnab

Hari ini kami menamakan arnab-arnab kami untuk memudahkan perbualan dan perbincangan. Mula-mula kami memanggil arnab dengan nombor sel yang mereka tinggal tetapi agak susah untuk diingati. Setelah perbincangan ringkas dibuat, kami namakan arnab-arnab kami seperti berikut:-
Dayang, sempena dayang senandung. Bulunya hitam. Betina. Berasal dari Bendang Kering, Sayung. Tinggal di Sel 1-1. Rasanya sedang bunting sebab suka menderam dan garang.
Leo. Sempena Lionhead, kepunyaan Azrul, tinggal di sel 1-2 bersama-sama Boo, sempena panggilan kawan perempuan Amir. Boo adalah arnab kepunyaannya.Rossa. Anak Lionhead betina kepunyaan Fatini. Sempena jambulnya yang tinggi seperti tanduk rusa. Kecantikan Rossa semakin hari semakin menyerlah. Bulunya berubah warna dari warna hitam keseluruhannya kepada kelabu di jambang dan jambulnya. Rossa tinggal di sel 1-3.
Cicak. Sempena bulunya seperti tikus tapi orang tua-tua selalu panggil cicak kepada kucing yang berbulu warna begini. Jantan. Tinggal di sel 1-4.

Bonia. Sempena beg tangan Bonia. haha. Betina. Tinggal di sel 1-5.

Beyonce. Sempena bulunya yang coklat seperti kulit penyanyi terkenal tu.. Betina. Tinggal di sel 1-6.Slyvia. Sempena bulunya berwarna perak atau silver. Betina. Tinggal di sel 1-7.Bandi. Sempena seorang pahlawan di Indonesia. Diberinama oleh Jaswadi, pekerja Indonesia saya. Jantan. Tinggal di sel 1-8.Qistina. Sempena SpaQ. haha. Betina. Tinggal di sel 1-9. Qistina sedang bunting. Jadi dia tinggal di wad bersalin.
Yuri. Sempena angkasawan. Anggora jantan. Tinggal di sel 2-3.Angie. Sempena Anggora betina. Tinggal di sel 2-4.

Elvis. Sempena jambulnya yang macho seperti sideburn penyanyi legenda itu. Lionhead jantan. Tinggal di sel 2-5.

Rabu, Oktober 14, 2009

Taman Arnab Zamrud Dah Siap

Rumah kelompok arnab 20 sel telah siap. Masih ada ruang untuk ditambah 4 sel lagi jika mahu tapi saya rasa 20 sel itupun sudah memadai. Bahagian atas sekali saya jadikan stor makanan dan peralatan mencuci reban. Rumah arnab ini saya reka supaya arnab tidak boleh diganggu anjing ataupun kucing. Kawasan saya tinggal ini banyak kucing dan juga anjing. Maklumlah, faham-faham sahajalah tinggal di Pulau Pinang ini. Saya juga ada sediakan ruang berpagar untuk arnab bersenam, melompat dan berlari-lari di sebelah petang. Mereka dilepaskan pada jam 5:30 petang sebab tunggu legenda "Sumpah Bunian" habis dulu, hehe. Kanak-kanak kejiranan akan mengerumuni pagar dan bermain-main dengan arnab.
Memang jelas sangat arnab-arnab ini gembira bila dilepaskan. Dan nampaknya waktu inilah induk jantan mencari peluang melepaskan biang masing-masing. Dan saya pening kepala bila kanak-kanak yang ramai ini menjerit-jerit panggil saya sambil kata "Arnab putih besar tu dok naik dan gigit arnab-arnab lain. Jahat betul arnab tu...". Haha. Anak-anak yang mengerti, tersengih aja.. Emak pula yang malu..


Peminat-peminat arnab ini pasti menghabiskan masa petang di taman arnab ini. Berapa lama akan bertahan tak tahulah. Halaman depan sebelah kanan rumah saya yang merupakan taman melati dan wakaf kayu bakau dalam proses untuk diubahsuai menjadi kawasan garaj. Anjung kereta sediada yang boleh memuatkan dua buah kereta sudah tidak mencukupi tidak lama lagi bila anak sulung yang baru dapat lesen memandu, terketaq-ketaq minta dibelikan kereta juga. Tapi sebenarnya kereta ketiga saya pun sekarang ini menumpang tempat letak kereta di rumah sebelah. Hehe, menyalahkan anak pulak....
Jadi hampir kesemua pokok-pokok terpaksa dipindahkan ke taman arnab ini. Pokok-pokok yang ditanam di tanah terpaksa dikorek dan dipasukan. Akan jadi cantiklah taman arnab saya nanti. Tapi tanah belakang rumah saya ini dikhaskan untuk tapak rumah adik yang sekarang ini tinggal di Kuala Lumpur. Jadi saya kena pindahkan arnab ini bila mereka hendak membina rumah kelak. Rasa-rasanya lambat lagi... danlah (sempat) beranak-pinak dulu arnab ini.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pantang lepa. Jika pintu terbuka sahaja, anak-anak arnab ini pasti akan keluar untuk bermain.
Rumah kelompok arnab yang sudah 90% siap.

Saya terpaksa bertopeng kerana alah arnab. Tetapi itu hanya masalah kecil. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


Isnin, Oktober 05, 2009

Alahai! Saya Alah Arnab.

Saya asyik terbersin sahaja bila berada dekat reban arnab. Selama dua hari sebelum ini, saya tak perasan yang saya alah dengan arnab. Kesihatan saya dah merosot agaknya. Imuniti dah kurang sedikit gamaknya. Maklumlah dah makin berumur. Pagi tadi dalam perjalanan pulang dari membeli pasu makanan dan minuman, saya singgah farmasi dan beli topeng mulut dan hidung (mask). Alhamdullilah, saya tak bersin walaupun sekali dengan terpakainya mask tersebut. Erm, terasa macam doktor haiwan le pulak.

Sabtu, Oktober 03, 2009

Stok Arnab Dah Sampai

Ingatkan Abang Mail nak bagi dua pasang arnab sahaja. Rupa-rupanya beliau bagi sampai 12 ekor. Seronoknya! Ada 2 ekor induk jantan, 6 ekor induk betina , sepasang anak LionHead dan sepasang anak arnab yang comel. Saya tidak pasti jenis-jenis arnab itu. Nanti saya akan membuat sedikit penyelidikan untuk menentukan jenis arnab-arnab tersebut.





Anak LionHead yang persis Chipmunk. Comelnya.

Rumah kluster arnab baru siap 40%.

Jumaat, Oktober 02, 2009

Rumah Arnab Dalam Pembikinan






Ini saya sertakan gambar rumah kelompok arnab yang sedang dibina Marsuh. Saya minta Marsuh siapkan pintu untuk dua petak dahulu kerana arnab akan sampai malam nanti. Oh ya, saya kena ke kedai untuk membeli botol minuman dan makanan arnab. Nanti kehausan dan kelaparan pula mereka. Tapi kangkung banyak di belakang rumah saya yang semak samun ini. Musim-musim hujan ini cepat betul semak tumbuh.

Khamis, Oktober 01, 2009

Permulaan Arnab Zamrud


Di Aidilfitri yang lalu, kami sekeluarga balik ke kampung dan melawat abang saya di Bendang Kering, Sayung, Kuala Kangsar. Anjung kereta rumah Abang Mail dipenuhi dengan sangkar-sangkar arnab dan tentunya arnab-arnab comel. Anak-anak saya teruja dan geramkan arnab-arnab itu.

"Ada 66 ekor kesemuanya. Enam bulan dulu ada dua pasang sahaja," kata Abang Mail.

Abang Mail mempelawa untuk mengambil sepasang dua ekor arnab. Anak-anak menjerit keriangan dan meminta izin saya dan suami. Saya tidak membantah sebab dulu-dulu semasa saya kecil dulupun emak ada membela arnab dan semua arnab dikatakan dinamakan atas nama saya konon-kononnya rasi dengan saya sebagaimana adik saya Sabrina rasi membela kambing. Entahlah, itu kepercayaan orang lama, tak tahu pulak atas dasar apa. Saya terlalu kecil ketika itu untuk mengerti.

Suami agak keberatan, lalu memberi syarat, jika mereka berani memegang dan bermain dengan arnab-arnab tersebut baru boleh bela. Apalagi, mereka terus bermain dan bergambar dengan arnab-arnab tersebut. Saya tidak pula melihat mereka kerana sibuk bersilaturrahim dengan saudara mara dan ipar duai. Mereka habiskan masa bertandang dengan bermain dengan anak-anak arnab. Hidangan bihun tomyam dan kuih-muih tidak dipedulikan lagi.

Bila hampir waktu pulang, ayahnya tidak benarkan pula membawa arnab balik ke Pulau Pinang kerana takut kereta mewahnya busuk. Janjinya, Sabtu nanti, ketika menghadiri kenduri pertunangan anak Abang Mail, barulah arnab akan dibawa balik dengan kereta Frontier. Abang Mail pesan untuk menyiapkan sangkar terlebih dahulu.

Anak-anak dengan arnab Abang Mail.


Bila sampai rumah, anak-anak mendesak saya membuat sangkar. Saya kata, nantilah, minggu ini emak sibuk dan pekerja-pekerja emakpun masih bercuti raya lagi. Sabtu itu, mereka pulang dari kenduri pertunangan dengan rasa hampa.

"Tau dah. Takkan dapat bela punya. Emak dengan ayah ni memangnya... mimpilah kalau dapat bela. Dulu Tok Teh nak bagi kucing siam yang cantik giler tu pun, ayah tak bagi..."

Saya diam sahaja. Faham dengan kekecewaan mereka. Saya memang suka kucing dan arnab, tapi bila suami tak suka terpaksalah saya pendamkan saja.

Malam itu, saya pujuk suami.

"Bolehlah, kesian bebudak (dalam hati, aku juga, hehe). Bukan bela dalam rumah macam kucing. Saya cadang nak convert pondok mainan bebudak tu ke reban arnab. Pondok tu pun mereka dah tak main lagi. Depa dah besar."

"Aku takut depa hangat-hangat tahi ayam je. Nanti hang juga yang teruk."

"Tak pe. Saiful ada. Saiful minat bela arnab juga. Kat rumah dia dulu memang ada bela arnab, merpati, ayam serama, burung dan entah apa apa lagi. Dia pun berminat sangat nak bela arnab di sini. Bolehlah ye..."

"Kut suka hang la..."

Yahoo....! Hehe. Dalam hati saja.

Selepas seminggu berlalu, maka tadi, saya mengarah Saiful dan Marsuh menukarkan pondok mainan kepada reban arnab. Pondok itu bersaiz 2m x 2m x 1.4m tinggi, berbumbung metaldeck, berlantaikan kayu dan berdindingkan kayu jarang-jarang separuh ketinggian dinding di dua sisi sahaja. Saya beli segulung jaring dawai bersalut pvc bersaiz 1.5inci x 0.5inci x 3kaki tinggi x 50 kaki panjang x 18g berharga RM150.00.

Lantai kayu dan dinding ditanggalkan. Kemudian menggunakan kayu-kayu lebihan dari projek masjid hari itu, rangka dibina. Saya membuat rumah cluster dua tingkat untuk arnab. Setiap tingkat ada lapan petak bersaiz 0.5m x 0.65m x 0.5m tinggi dan dua petak 1.0m x 0.65m x 0.5 m tinggi. Jadi kesemuanya ada dua puluh petak. Hari ini dah siap kesemua rangka tingkat bawah. Esok akan dipasang jaring dawai untuk lantai, dinding dan pintu. Ruang untuk plastik condong perangkap najis juga telah disediakan. Plastik itu belum saya beli lagi. Saya cadang nak pergi ke kilang Kenny SiPengiklan untuk lebihan "polycarbanate panel". Pasti Kenny ada banyak reja-reja polycarbonate tersebut yang beliau gunakan sebagai panel papan iklan. Untuk palung (gutter) saya bercadang untuk gunakan paip UPVC 4inci yang dibelah dua sahaja, yang memang banyak terdapat dalam stor. Nanti saya sertakan gambar rumah cluster arnab tersebut.

Esok juga Saiful akan balik ke kampung, ke rumah Abang Mail untuk mengambil arnab. Saya telahpun menelefon memaklumi beliau.

Arnab mungkin dapat dua pasang sahaja. Tetapi saya sengaja memaksimakan keterbolehjumlahan petak dari pondok mainan sediada tersebut. Petak kosong boleh diisi dengan anak ayam atau dibiarkan kosong sementara waktu. InsyaAllah jika arnab membiak, tidak perlulah saya mengubahsuai rumah arnab lagi.

Semasa kerja-kerja membuat rumah arnab dijalankan, ternyata suami juga teruja. Hehe. Senang hati saya.