Ahad, Januari 24, 2010

Reban tambahan hampir siap



Reban 3 tingkat 9 sel untuk kegunaan arnab-arnab yang bersaiz kecil hampir siap. Reban ini akan dipindahkan ke ladang di Kg Tok Pedu kelak.
Reban ini berlantaikan buluh, berdinding dawai dan berbumbung kepingan GI merangkap perangkap tinja dan kencing. Bekas makanan dibuat dari GI flashing. GI flashing saiz yang sesuai untuk bekas makanan ini sudah habis, jadi selepas ini kami akan buat dari paip PVC yang banyak dalam bengkel/stor saya ini.


Saya bercadang membuat seberapa banyak reban yang dapat dari kayu-kayu terpakai lebihan dari projek masjid tempohari. Berkecamuk habis kayu-kayu yang sebelum ini dikemas rapi. Pemilihan kayu dibuat untuk memaksimakan penggunaan. Yang panjang digunakan untuk membuat bangsal dan yang pendek disambung-sambung untuk dijadikan reban. Lepas habis kayu-kayu ini, saya bercadang untuk membuat reban dari besi-besi lebihan projek menara telekomunikasi pula. Manfaatkan bahan-bahan yang sediada. Kos pun sangat minima. Jika tak guna kayu-kayu ini pun akan reput begitu sahaja. Sebenarnya sebelum ini kayu-kayu ini ada sangat banyak tapi saya dah ubahsuai rumah saya tambah bilik tetamu persis rumah kampung di atas anjung kereta rumah saya.

Jumaat, Januari 22, 2010

Arnab yang bertaring panjang.

Semalam saya ke kedai akuarium dengan Amir, anak sulung saya. Hajat di hati nak dapatkan pengganti Jack si Holland Lop jantan yang mati kerana cirit tempohari. Bila sampai di kedai hanya ada seekor arnab matang yang agak besar juga (lebih 2 kilo agak saya). Sangkarnya terletak di atas lantai dan kedai agak gelap sedikit. Amir kata cantik juga arnab ini dan nampak seperti Hotot. Boleh dijadikan penjantan katanya. Saya juga bersetuju dengan pandangannya. Jadi kami beli arnab ini, harganya hanya Rm35, selepas tawar menawar. Bila sampai rumah, ketika mengangkat keluar arnab ini, kami terkejut melihat dua gigi hadapannya yang bertaring panjang hingga mencecah hidungnya. Gusinya juga menjulur panjang. Aduh, lalainya kami tadi. Kenapalah tak kami belek elok-elok tadi. Gerun pulak tengok arnab ini. Nampak macam vampire pun ada. Anak-anak dan anak-anak kejiranan semua kecoh tengok arnab ini. "Nama apa arnab ini, mak Njang?" tanya mereka. "Errrr... Tok Wan", jawab saya spontan.
Saya mencari bahan perihal gigi arnab ini dalam internet. Ternyata ianya disebabkan kecacatan dari kecil atau kecacatan genetik. Ianya tidak boleh dijadikan pejantan atau induk. Anak-anaknya akan mempunyai masalah yang sama. Jadi saya telefon kedai dan tanya jika saya boleh pulangkan semula arnab ini. Kami semua gerun dan takut tengok arnab ini, kata saya. Kerana saya pelanggan tetap, bolehlah dipulangkan katanya. Jadi saya akan pulangkan esok bila stok arnab Holland Lop ada sampai ke kedai itu. Nasib baik dia terima semula, jika tidak kena sembelihlah arnab itu. Buat rendang. Tapi saya tanya suami, Marsuh dan Saiful, semua pun tak berani nak sembelih arnab. Alahai, masalah ini. Macamana nak ternak arnab pedaging, jika nak sembelih pun tak berani?... Huhu.

Tambahan Baru Stok

Minggu lepas saya ada singgah di kedai burung untuk membeli anak ayam piru yang Faqihah minta. Saya ada pesan pada tauke kedai untuk menyimpan sepasang anak ayam tersebut jika stok ada sampai tapi menurut beliau, tiada stok yang sampai daripada hari itu lagi. Saya dapati di kedainya ada beberapa ekor arnab. Bila tanya pada pembantu kedai, Anggora Mix katanya. Tapi tauke kata NZW. Tapi saya rasa hanya arnab kampung. Tak apalah, janji mereka sihat. Harga agak berpatutan, jadi saya sambar 3 ekor. Yang ini saya namakan Genta, betina, berumur 5 bulan. Rupanya sememang seakan-akan Bandi si NWZ. Bila tanya Jaswadi yang namakan Bandi (pahlawan Indonesia katanya) dulu, apa nama isteri Bandi, katanya Genta. Jadi Genta lah namanya. Saya cari dalam kamus apa makna Genta, rupanya ianya bermaksud loceng. Saya selalu terbaca dalam blog atau akhbar, "Malam Genta Puisi" tapi tak pernah saya fikir apa maksud Genta. Untung juga, sekarang saya dah tahu makna genta. Alahai banyaknya benda yang kita tak tahu, ye?.
Yang ini saya namakan Gurindam. Betina, berumur 2 bulan menurut tauke kedai.
Yang ini pula saya namakan Puisi, betina berumur 2 bulan. Erm... kali ini, semua nama bersangkutan sastera, antara subjek kegemaran saya walaupun saya seorang yang berkecimpung dalam bidang teknikal.
Saya harap mereka akan jadi induk yang baik dan produktif.


Khamis, Januari 14, 2010

Bonia Beranak Lima

Pagi tadi ketika kami sedang sibuk memasang nipple, yang dibeli dari Arnab Riverstone, ke sistem perpaipan yang telah sediada di reban arnab kluster, Bonia sibuk menyiapkan kotak sarangnya dengan rumput kering yang kami letak di luar kotak sarang. Sudahnya pada jam 10 pagi, lima ekor anak arnab telahpun selamat lahir ke dunia ini. Kami jenguk sekejap melihat ke dalam kotak sarangnya, kami dapati hampir tiada bulu yang dicabut Bonia. Mungkin kerana keadaan cuaca yang sedang panas ketika itu. Disebabkan Bonia tinggal di wad bersalin tingkat dua, sukar untuk menangkap gambar anak-anaknya. Lagipun kami ingin memberi sedikit privasi kepada Bonia. Haha.

Jadi sehingga kini, sebanyak 17 ekor anak arnab yang telah dilahirkan di Taman Arnab Zamrud tetapi sebanyak 3 ekor telah mati. Setakat ini ada 14 ekor arnab yang masih hidup. Saya harap keempat-empat belas ekor anak arnab ini akan hidup dan membesar dengan sihat. Amin.

Kami juga sedang menyiapkan reban tambahan mudahalih di bengkel besi saya. Saya membuat reban bateri tiga tingkat yang boleh disambung-sambung kelak di ladang arnab di Kampung Tok Pedu. Kali ini kami menggunakan buluh sebagai lantai dan GI flashing sebagai bumbung merangkap perangkap tinja dan air kencing arnab. Nanti bila siap akan saya sertakan gambarnya di sini.

Penangan Tinja dan Air Kencing Arnab sebagai Baja.

Ini saya sertakan gambar kacang kelisa @ botol yang berkhasiat untuk memperbanyakkan susu ibu arnab yang baru bersalin ataupun masih dalam masa belum ceraikan susu anaknya. Gambar ini ditujukan khas buat dj dan rakan-rakan penternak yang tidak mengenali kacang kelisa.

Saya memang ada menanam pelbagai sayuran sebelum saya mula menternak arnab lagi, kerana kami sekeluarga amat meminati ulam-ulaman seperti kacang kelisa, ulam raja, daun silom, beluntas, mulberry, kaduk, dan cekur. Kami juga ada menanam ubi kayu, keledek, kangkung, maman, anggur, belimbing buluh, belimbing besi, daun kesum, pandan, cermai, mata kucing, limau kasturi, limau purut, kunyit, serai, lengkuas, kantan, karipulai dan pelbagai lagi untuk kegunaan sendiri.
Anggur ini telah saya petik, kemudian baru saya teringat untuk merakam gambarnya.
Seronok bila dapat menuai hasil tanaman sendiri. Anggur yang telah lama saya tanam (hampir 7 tahun), akhirnya berbuah dan kami terkejut kerana anggur itu amat manis sekali. Alhamdullilah selepas saya menggunakan tinja dan air kencing arnab sebagai baja, tanaman di halaman rumah saya menjadi amat subur dan mula berbuah. Jadi, tinja dan air kencing arnab eloklah dimanfaatkan daripada dibiarkan dan dibazirkan begitu saja. Saya ada membuat baja kompos daripada tinja arnab ini dan telahpun ditempah oleh seorang penanam sayur. Harga tinja arnab boleh mencecah sehingga RM8/kg. Air kencingnya pula tidak pernah lagi saya jumpa atau terbaca harganya dimana-mana. Tapi nyata air kencingnya cukup bagus untuk tanaman dan rumput.

Dulu saya hanya membaca rencana yang mengatakan tinja arnab amat bagus sebagai baja, sekarang saya amat-amat yakin kerana telah terbukti sebegitu di halaman sendiri.

Sabtu, Januari 09, 2010

Arnab yang "Toilet-Trained"

Saya dapat Stripe dari Trina dan Jason, warga Australia yang berkhidmat di TUDM, Butterworth. Stripe adalah arnab yang "toilet trained" atau tahu pergi ke sangkarnya untuk menunaikan hajat kecil dan besar. Saya dan keluarga sangat gembira menerima Stripe tinggal di dalam rumah kami. Dia persis seekor kucing yang manja dan pandai mendengar kata. Dia akan meluru datang bila kita memanggil namanya. Begitu juga bila kami mengarahkannya masuk ke dalam sangkar apabila malam. Tetapi buat masa ini Stripe hanya faham Bahasa Inggeris dan sedang belajar menerima arahan dalam Bahasa Melayu pula!

Apabila kami membeli Stephanie untuk dijadikan kawan Stripe, Stephanie tidak pandai seperti Stripe. Kami kena sabar dalam melatih Stephanie supaya "toilet trained" juga dan nyata dia sekarang terlatih seperti pakwenya. Tetapi sekali-sekala dia terlepas juga. Macam kanak-kanak juga. Tapi seperti juga menghadapi kerenah anak-anak, kita juga mesti sabar dengan kerenah arnab. Tetapi tidaklah serumit mana.

Kini kami amat gembira dengan Stripe dan Stephanie. Apabila pulang dari perjalanan jauh atau saya berada lama di luar, Stripe dan Stephanie akan berlari-lari riang mengelilingi saya.

Saya bercadang untuk melatih setiap arnab hiasan jualan saya supaya "toilet-trained" untuk menyenangkan bakal tuan punya arnab dari Arnab Zamrud. Sesiapa yang berminat, sila hubungi saya.

Ahad, Januari 03, 2010

Patah tumbuh hilang berganti

Semasa saya ke Ipoh tempohari dan membeli dua ekor anak arnab betina (Joy dan Munchy), saya ada beli pellet yang mahal sedikit dari yang selalu saya gunakan. Konon-kononnya nakkan arnab saya jadi sihat sebab bau pellet itu memang sedap dan warnanya yang seakan lebih cantik dan bersih. Setelah pellet lama hampir habis, saya mula menggunakan pellet baru dengan mencampur kedua-dua pellet. Anak-anak nampak gemuk dan sihat untuk beberapa hari. Rupa-rupanya arnab itu bukannya gemuk tetapi perut mereka buncit kerana kembung. Dalam masa empat hari, 7 ekor anak arnab telah mati. Keempat-empat anak arnab (Yogurt, Kanon, Oreo dan Candak) yang dibeli di Kuala Kangsar telah mati. Kemudian diikuti Joy, Jack (Holland Lop) dan Junior 1 (NZW). Saya betul-betul sedih kerana kehilangan mereka terutamanya Jack dan Junior 1. Mula-mula saya ingatkan saya terlebih beri hijauan tetapi kedua-dua Holland Lop itu tidak pernah saya beri makan hijauan.

Kemudian saya dapati arnab-arnab dewasa pula mula bertinja lembut. Baru saya terfikir akan penggunaan pellet baru itu. Silapnya saya dalam menilai pemakanan arnab. Terus saya ke kedai membeli pellet arnab yang biasa saya gunakan. Alhamdullilah, tinja mereka mula kelihatan seperti biasa. Ini adalah satu pengajaran yang amat berguna kepada saya dan saya harap anda juga mengambil ikhtibar dari cerita saya ini.

Dalam sibuk-sibuk anak-anak arnab ini mati, pada 28/12/2009, Beyonce telah melahirkan 4 ekor anak yang mirip Stripe tetapi mereka bukan anak Stripe tetapi Elvis.
Dayang juga telah melahirkan 3 ekor anak pada 2/1/2010. Ini merupakan kelahiran pertama kepada mereka.
Saya harap mereka akan membesar dengan sihat dan boleh menjadi induk dan pejantan yang baik. Kedatangan anak-anak baru ini sedikit sebanyak mengubat kesedihan di hati. Patah tumbuh hilang berganti.