Khamis, Januari 14, 2010

Bonia Beranak Lima

Pagi tadi ketika kami sedang sibuk memasang nipple, yang dibeli dari Arnab Riverstone, ke sistem perpaipan yang telah sediada di reban arnab kluster, Bonia sibuk menyiapkan kotak sarangnya dengan rumput kering yang kami letak di luar kotak sarang. Sudahnya pada jam 10 pagi, lima ekor anak arnab telahpun selamat lahir ke dunia ini. Kami jenguk sekejap melihat ke dalam kotak sarangnya, kami dapati hampir tiada bulu yang dicabut Bonia. Mungkin kerana keadaan cuaca yang sedang panas ketika itu. Disebabkan Bonia tinggal di wad bersalin tingkat dua, sukar untuk menangkap gambar anak-anaknya. Lagipun kami ingin memberi sedikit privasi kepada Bonia. Haha.

Jadi sehingga kini, sebanyak 17 ekor anak arnab yang telah dilahirkan di Taman Arnab Zamrud tetapi sebanyak 3 ekor telah mati. Setakat ini ada 14 ekor arnab yang masih hidup. Saya harap keempat-empat belas ekor anak arnab ini akan hidup dan membesar dengan sihat. Amin.

Kami juga sedang menyiapkan reban tambahan mudahalih di bengkel besi saya. Saya membuat reban bateri tiga tingkat yang boleh disambung-sambung kelak di ladang arnab di Kampung Tok Pedu. Kali ini kami menggunakan buluh sebagai lantai dan GI flashing sebagai bumbung merangkap perangkap tinja dan air kencing arnab. Nanti bila siap akan saya sertakan gambarnya di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan