Selasa, November 02, 2010

ARNAB PEDAGING (2) - Rencana dari Laman Web Jabatan Perkhidmatan Veterinar

KAWALAN PENYAKIT

APAKAH LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENCEGAH DARI SERANGAN PENYAKIT ?

Untuk panduan umum, langkah-langkah kawalan penyakit yang minimum adalah seperti berikut:

  • Sekitar kawasan hendaklah bersih
  • Hadkan pegerakan pekerja dan kurangkan pelawat masuk
  • Langkah kebersihan hendaklah diamalkan semasa menyentuh setiap arnab
  • Lakukan rawatan seberapa yang boleh. Kalau tidak berjaya bolehlah ditakal (terutama kalau bilangan arnab banyak) dan cara ini telah diamalkan dikebanyakan negara lain.
  • Tanamkan arnab yang mati dalam lubang yang jauh dari reban jika tidak/selepas post mortem).
  • Dapatkan stok arnab dari ladang arnab yang mempunyai mutu kesihatan yang tinggi.
  • Jika berlaku kematian yang mengejut dan melibatkan bilangan arnab yang banyak, lapor dengan segera kepada Pejabat Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang berhampiran.
  • Menyimpan rekod

APAKAH KEPENTINGAN MENYIMPAN REKOD DALAM PENTERNAKAN ARNAB ?

Kepentingan menyimpan rekod adalah untuk:

  • Mengetahui jumlah ternakan arnab mengikut peringkat umur, jantina dan baka.
  • Untuk mengetahui prestasi setiap ekor terutama dalam pemilihan anak untuk dijadikan baka.
  • Untuk memudahkan program pembiakan.
  • Memudahkan kerja harian seperti menguruskan (mengendalikan) arnab yang bunting, beranak dan menjalankan proses cerai susu. MAKANAN UTAMA

DIMANAKAH MAKANAN PELET ARNAB BOLEH DIBELI ?

Makanan ini boleh dibeli di kedai-kedai makanan ternakan arnab dan dikeluarkan dalam beberapa jenama. Makanan ini berbentuk pelet atau untilan yang keras, yang mempunyai saiz garispusat 4 mm dan paniang 2-3 sm.

Diisi dalam beg-beg dan berat setiap beg mengandungi 50 kg pelet. Makanan ini mengandungi segala zat-zat untuk pertumbuhan badan arnab sekurang-kurangnya pada kadar kuantiti yang minimum. Disamping itu makanan ini boleh disimpan untuk jangka masa yang lebih lama dalam stor dan boleh digunakan apabila dikehendaki.

Senarai pembuat makanan ternakan arnab seperti dalam appedix 2.

CARA PEMBERIAN MAKANAN

ADAKAH APA-APA MASALAH DALAM PENGUNAAN MAKANAN PELET INI ?

Masalah dalam pengunaan makanan ini adalah mutunya tidak tetap. Juga banyak untilan yang mudah pecah dan lebih banyak berdebu. Kerapkali kandungan zat-zat tidak tetap dalam setiap beg makanan yang dibeli. Oleh itu pilihlah jenama dari pengeluar makanan arnab yang disyorkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Kerap kali, apabila berlaku masalah ini, penternak menukar makanan arnab kepada jenama lain. Perbuatan ini adalah tidak digalakkan, kerana akan memberi masalah yang lebih besar kepada arnab seperti kembung dan boleh mengakibatkan kematian.

Kalau perlu membuat penukaran makanan (atau memberi makanan yang baru dibeli walaupun dari jenama yang sama), lakukan percampuran dengan makanan yang sedia ada secara perlahan-lahan dalam masa 1 minggu. Jangan lakukan pertukaran secara mendadak atau sekaligus.

MAKANAN TAMBAHAN

ADAKAH DAUN-DAUN BOLEH DIBERI KEPADA ARNAB PEDAGING ?

Pemberian bahan hijau ini hendaklah diingati sebagai makanan tambahan sahaja. Jumlah yang patut diberi adalah mengikut jumlah yang boleh dimakan oleh arnab itu.

Bahan-bahan hijau yang boleh digunakan seperti daun keledek dan daun kangkung. Lebihan kegunaan dapur juga boleh dimanfaatkan seperti daun kobis, sawi dan kacang panjang. Satu perkara yang perlu diambil perhatian dalam pemberian bahan hijau ini ialah kebersihan dan kandungan air pada bahan hijau tersebut.

Untuk ini daun-daun tersebut hendaklah dibasuh dulu beberapa kali dan kemudian dikeringkan pada panas matahari selama 2-3 jam. Kemudiannya bolehlah diberikan kepada amab.

Lebihan sisa-sisa bahan hijau pada keesokkan harinya hendaklah dibuang, dan jangan digunakan lagi.

Makanan utama iaitu makanan pelet arnab hendaklah diberikan dan boleh didapati di kedai jualan makanan ternakan.

PEMBIAKAN

BAGAIMANAKAH CARA MENGAHWINKAN ARNAB ?

Sebenarnya cara mengahwinkan arnab adalah mudah dan ringkas. Masukan arnab betina dalam sangkar arnab jantan. Jangan lakukan sebaliknya, kerana arnab betina mempunyai "territorial behaviour" yang kuat dan akan menyerang serta mungkin akan membunuh arnab jantan tersebut.

Masa mengawan antara 1-5 minit sahaja. Kemudian ambil semula arnab betina dan kembalikan dalam sangkarnya. Jangan tinggalkan arnab betina dalam sangkar arnab jantan tersebut lebih dari tempoh tadi.

Lakukan waktu proses mengawan arnab ini dalam keadaan cuaca yang selesa seperti awal pagi atau lewat petang. Elakkan proses mengawan di waktu tengahari kerana suhu yang tinggi akan mengurangkan kadar kesuburan.

....bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan