Reban 3 tingkat 9 sel untuk kegunaan arnab-arnab yang bersaiz kecil hampir siap. Reban ini akan dipindahkan ke ladang di Kg Tok Pedu kelak.
Reban ini berlantaikan buluh, berdinding dawai dan berbumbung kepingan GI merangkap perangkap tinja dan kencing. Bekas makanan dibuat dari GI flashing. GI flashing saiz yang sesuai untuk bekas makanan ini sudah habis, jadi selepas ini kami akan buat dari paip PVC yang banyak dalam bengkel/stor saya ini.
Saya bercadang membuat seberapa banyak reban yang dapat dari kayu-kayu terpakai lebihan dari projek masjid tempohari. Berkecamuk habis kayu-kayu yang sebelum ini dikemas rapi. Pemilihan kayu dibuat untuk memaksimakan penggunaan. Yang panjang digunakan untuk membuat bangsal dan yang pendek disambung-sambung untuk dijadikan reban. Lepas habis kayu-kayu ini, saya bercadang untuk membuat reban dari besi-besi lebihan projek menara telekomunikasi pula. Manfaatkan bahan-bahan yang sediada. Kos pun sangat minima. Jika tak guna kayu-kayu ini pun akan reput begitu sahaja. Sebenarnya sebelum ini kayu-kayu ini ada sangat banyak tapi saya dah ubahsuai rumah saya tambah bilik tetamu persis rumah kampung di atas anjung kereta rumah saya.

Saya mencari bahan perihal gigi arnab ini dalam internet. Ternyata ianya disebabkan kecacatan dari kecil atau kecacatan genetik. Ianya tidak boleh dijadikan pejantan atau induk. Anak-anaknya akan mempunyai masalah yang sama. Jadi saya telefon kedai dan tanya jika saya boleh pulangkan semula arnab ini. Kami semua gerun dan takut tengok arnab ini, kata saya. Kerana saya pelanggan tetap, bolehlah dipulangkan katanya. Jadi saya akan pulangkan esok bila stok arnab Holland Lop ada sampai ke kedai itu. Nasib baik dia terima semula, jika tidak kena sembelihlah arnab itu. Buat rendang. Tapi saya tanya suami, Marsuh dan Saiful, semua pun tak berani nak sembelih arnab. Alahai, masalah ini. Macamana nak ternak arnab pedaging, jika nak sembelih pun tak berani?... Huhu.
Yang ini saya namakan Genta, betina, berumur 5 bulan. Rupanya sememang seakan-akan Bandi si NWZ. Bila tanya Jaswadi yang namakan Bandi (pahlawan Indonesia katanya) dulu, apa nama isteri Bandi, katanya Genta. Jadi Genta lah namanya. Saya cari dalam kamus apa makna Genta, rupanya ianya bermaksud loceng. Saya selalu terbaca dalam blog atau akhbar, "Malam Genta Puisi" tapi tak pernah saya fikir apa maksud Genta. Untung juga, sekarang saya dah tahu makna genta. Alahai banyaknya benda yang kita tak tahu, ye?.




.jpg)