Sabtu, Mei 29, 2010

Holland Lop Untuk Dijual. (Tarikh Lahir 29/4/2010)

1. Jantan. TELAH DIJUAL.

2. Betina. (maaf, yang ini Fuzzy Lop). TELAH DIJUAL.

3. Betina. TELAH DIJUAL

4. Jantan. TELAH DIJUAL.


Selasa, Mei 25, 2010

Lagi ibu arnab beranak..

Kali ini arnab yang kami namakan Monyet, yang disatukan dengan Stripe, beranak buat kali pertama sebanyak 3 ekor anak sahaja. Jadi kini ada 6 ekor ibu arnab dengan jumlah anak sebanyak 26 ekor kesemuanya yang masih dalam proses susuan.

Isnin, Mei 24, 2010

Antara Koleksi di Taman

Netherland Dwarf dan Teddy Bear.


Intan, si LionHead Double Mane.


Woody dan Winnie. Woody Toy yang comel.


Delima si Anggora yang manja dan sedang bunting.




Jumaat, Mei 21, 2010

Leona memecah rekod..

Leona, si Lionhead yang disatukan dengan Elvis, juga si Lionhead, beranak buat kali pertama dengan memecah rekod lain-lain arnab dengan 8 ekor anak, pada 20/5/2010. Setakat ini paling banyak yang dilahirkan hanya sebanyak 6 ekor yang disandang oleh Beyonce sebanyak 2 kali. Kami teruja dengan kelahiran yang banyak ini. Kami asyik jenguk ke wad bersalin Leona untuk memastikan setiap anak cukup disusukan dan nampak setakat 2 hari ini, Leona menjaga anak-anaknya dengan baik sekali. Alhamdullilah.

Maka, ketika ini, ada 5 ibu dalam pantang iaitu:-

1) Beyonce si Dutch x Lionhead disatukan dengan Bong Si Dutch + Lionhead, kelahiran ketiga dengan 6 ekor anak pada 3/5/2010.

2) Gurindam si NZW x Anggora disatukan dengan Bandi si NZW, kelahiran pertama dengan 5 ekor anak pada 3/5/2010.

3) Nilam si Mix Anggora disatukan dengan Stripe, kelahiran kedua dengan 3 ekor anak tapi mati seekor pada 3/5/2010.

4) Slyvia si Dutch x Lionhead disatukan dengan Elvis si LH, kelahiran pertama dengan 5 ekor anak tapi 3 ekor mati lemas pada 15/5/2010.

5) Leona si Lionhead disatukan dengan Elvis si LH, kelahiran pertama dengan 8 ekor anak pada 20/5/2010.

Sesiapa yang berminat dengan anak-anak arnab ini sila datang setelah umur mereka mencecah 4 minggu iaitu selepas mereka cerai susu.

Jumaat, Mei 07, 2010

3 ibu beranak lagi.

Beyonce, Nilam dan Gurindam telah pun beranak pada 3/5/2010 yang lalu. Anak-anak arnab yang telahpun cerai susu dari 4 ekor ibu yang melahirkan ketika saya di Makkah telahpun dibeli oleh peminat-peminat arnab. Kini cuma tinggal 5 ekor sahaja yang ada untuk dijual selain beberapa ekor arnab jantan baka campuran yang hampir matang. Kami ingin mengurangkan arnab baka campuran kerana ingin fokus kepada baka tulin sahaja. Kami juga bercadang untuk menambah lagi reban kerana reban yang ada sudah tidak mencukupi.

Pada 3/6/2010, pada sesiapa yang inginkan anak arnab hiasan bolehlah mengunjungi taman kami. Dijangkakan pada 3/6/2010 akan ada beberapa ibu arnab yang akan melahirkan juga.

Khamis, April 15, 2010

Setelah pulang dari Makkah.

Alhamdullillah saya, suami dan ibu mertua baru sahaja selesai menunaikan umrah dan selamat pulang ke tanahair pada penghujung malam 12hb April yang lalu. Sepanjang ketiadaan saya, anak sulung telah mengambil alih segala tugasan penjagaan arnab. Anak saudara saya, Saiful telahpun pulang ke Klang sehari dua selepas keberangkatan kami kerana mendapat pekerjaan di sana.

Saya teruja melihat semua arnab dah nampak besar-besar dan cantik. 4 ekor ibu arnab juga telah melahirkan anak-anak yang sihat. Pandai Amir menjaga arnab sepanjang ketiadaan saya. Arnab-arnab yang berbulu panjang disikat dan dimandi.

Nanti saya masukkan gambar. Sekarang saya masih jetlag dan demam. Panas betul cuaca di Malaysia sekarang ini..

Jumaat, Mac 12, 2010

Lawatan Jabatan Haiwan

Seekor arnab kami yang bernama Titanium (Titan singkatannya) telah dijangkiti hama telinga hingga hampir menutupi keseluruhan lubang telinganya. Saya minta Saiful bawa Titan ke Jabatan Haiwan di Pokok Sena untuk dapatkan suntikan hama. Di sana, pegawai bertanya berapa ekor arnab yang kami ada dan tujuan pemeliharaan. Oleh kerana kami punya hampir 80 ekor arnab, pegawai tersebut berkata yang mereka akan melawat taman kami. Jam 11 pagi, lima orang kakitangan Jabatan Haiwan telah datang dan memeriksa kesemua arnab-arnab kami. Sebanyak 28 ekor telah disuntik vaksin dan caj nya hanya Rm42. Murah kan? Kalau di klinik haiwan harganya RM10 per suntikan.

Saya rasa bersyukur dan lebih bersemangat untuk meneruskan penternakan arnab ini secara serius lagi. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang telah memperuntukkan RM6billion untuk bidang pertanian tahun ini. Kita patut merebut peluang keemasan ini dengan strategi yang lebih baik dan dapatkan khidmat nasihat dari Jabatan berkenaan.





Sabtu, Februari 27, 2010

Botol Minuman Untuk Arnab

Saya ada jual botol minuman yang sesuai untuk arnab. Muncungnya kecil, sesuai untuk arnab. Botolnya boleh diganti dengan botol minuman bergas seperti Coca Cola atau Pepsi, saiz 500ml dan 1.5 liter jika mahu. Harganya hanya RM19.90 sahaja tidak termasuk penghantaran.

Jumaat, Februari 05, 2010

Menaiktaraf Taman

Kini, kami dalam proses menaiktaraf taman arnab kami bagi kemudahan para peminat arnab. Harap para peminat akan tidak jemu datang ke sini.

Arnab Zamrud di Tapak Expo Seberang Jaya

Kami berada di Tapak Expo Seberang Jaya di gerai 121 dari 2/2/2010 hingga 7/2/2010 ini sehingga jam 12:30 malam. Semua dijemput datang.

Ahad, Januari 24, 2010

Reban tambahan hampir siap



Reban 3 tingkat 9 sel untuk kegunaan arnab-arnab yang bersaiz kecil hampir siap. Reban ini akan dipindahkan ke ladang di Kg Tok Pedu kelak.
Reban ini berlantaikan buluh, berdinding dawai dan berbumbung kepingan GI merangkap perangkap tinja dan kencing. Bekas makanan dibuat dari GI flashing. GI flashing saiz yang sesuai untuk bekas makanan ini sudah habis, jadi selepas ini kami akan buat dari paip PVC yang banyak dalam bengkel/stor saya ini.


Saya bercadang membuat seberapa banyak reban yang dapat dari kayu-kayu terpakai lebihan dari projek masjid tempohari. Berkecamuk habis kayu-kayu yang sebelum ini dikemas rapi. Pemilihan kayu dibuat untuk memaksimakan penggunaan. Yang panjang digunakan untuk membuat bangsal dan yang pendek disambung-sambung untuk dijadikan reban. Lepas habis kayu-kayu ini, saya bercadang untuk membuat reban dari besi-besi lebihan projek menara telekomunikasi pula. Manfaatkan bahan-bahan yang sediada. Kos pun sangat minima. Jika tak guna kayu-kayu ini pun akan reput begitu sahaja. Sebenarnya sebelum ini kayu-kayu ini ada sangat banyak tapi saya dah ubahsuai rumah saya tambah bilik tetamu persis rumah kampung di atas anjung kereta rumah saya.

Jumaat, Januari 22, 2010

Arnab yang bertaring panjang.

Semalam saya ke kedai akuarium dengan Amir, anak sulung saya. Hajat di hati nak dapatkan pengganti Jack si Holland Lop jantan yang mati kerana cirit tempohari. Bila sampai di kedai hanya ada seekor arnab matang yang agak besar juga (lebih 2 kilo agak saya). Sangkarnya terletak di atas lantai dan kedai agak gelap sedikit. Amir kata cantik juga arnab ini dan nampak seperti Hotot. Boleh dijadikan penjantan katanya. Saya juga bersetuju dengan pandangannya. Jadi kami beli arnab ini, harganya hanya Rm35, selepas tawar menawar. Bila sampai rumah, ketika mengangkat keluar arnab ini, kami terkejut melihat dua gigi hadapannya yang bertaring panjang hingga mencecah hidungnya. Gusinya juga menjulur panjang. Aduh, lalainya kami tadi. Kenapalah tak kami belek elok-elok tadi. Gerun pulak tengok arnab ini. Nampak macam vampire pun ada. Anak-anak dan anak-anak kejiranan semua kecoh tengok arnab ini. "Nama apa arnab ini, mak Njang?" tanya mereka. "Errrr... Tok Wan", jawab saya spontan.
Saya mencari bahan perihal gigi arnab ini dalam internet. Ternyata ianya disebabkan kecacatan dari kecil atau kecacatan genetik. Ianya tidak boleh dijadikan pejantan atau induk. Anak-anaknya akan mempunyai masalah yang sama. Jadi saya telefon kedai dan tanya jika saya boleh pulangkan semula arnab ini. Kami semua gerun dan takut tengok arnab ini, kata saya. Kerana saya pelanggan tetap, bolehlah dipulangkan katanya. Jadi saya akan pulangkan esok bila stok arnab Holland Lop ada sampai ke kedai itu. Nasib baik dia terima semula, jika tidak kena sembelihlah arnab itu. Buat rendang. Tapi saya tanya suami, Marsuh dan Saiful, semua pun tak berani nak sembelih arnab. Alahai, masalah ini. Macamana nak ternak arnab pedaging, jika nak sembelih pun tak berani?... Huhu.

Tambahan Baru Stok

Minggu lepas saya ada singgah di kedai burung untuk membeli anak ayam piru yang Faqihah minta. Saya ada pesan pada tauke kedai untuk menyimpan sepasang anak ayam tersebut jika stok ada sampai tapi menurut beliau, tiada stok yang sampai daripada hari itu lagi. Saya dapati di kedainya ada beberapa ekor arnab. Bila tanya pada pembantu kedai, Anggora Mix katanya. Tapi tauke kata NZW. Tapi saya rasa hanya arnab kampung. Tak apalah, janji mereka sihat. Harga agak berpatutan, jadi saya sambar 3 ekor. Yang ini saya namakan Genta, betina, berumur 5 bulan. Rupanya sememang seakan-akan Bandi si NWZ. Bila tanya Jaswadi yang namakan Bandi (pahlawan Indonesia katanya) dulu, apa nama isteri Bandi, katanya Genta. Jadi Genta lah namanya. Saya cari dalam kamus apa makna Genta, rupanya ianya bermaksud loceng. Saya selalu terbaca dalam blog atau akhbar, "Malam Genta Puisi" tapi tak pernah saya fikir apa maksud Genta. Untung juga, sekarang saya dah tahu makna genta. Alahai banyaknya benda yang kita tak tahu, ye?.
Yang ini saya namakan Gurindam. Betina, berumur 2 bulan menurut tauke kedai.
Yang ini pula saya namakan Puisi, betina berumur 2 bulan. Erm... kali ini, semua nama bersangkutan sastera, antara subjek kegemaran saya walaupun saya seorang yang berkecimpung dalam bidang teknikal.
Saya harap mereka akan jadi induk yang baik dan produktif.


Khamis, Januari 14, 2010

Bonia Beranak Lima

Pagi tadi ketika kami sedang sibuk memasang nipple, yang dibeli dari Arnab Riverstone, ke sistem perpaipan yang telah sediada di reban arnab kluster, Bonia sibuk menyiapkan kotak sarangnya dengan rumput kering yang kami letak di luar kotak sarang. Sudahnya pada jam 10 pagi, lima ekor anak arnab telahpun selamat lahir ke dunia ini. Kami jenguk sekejap melihat ke dalam kotak sarangnya, kami dapati hampir tiada bulu yang dicabut Bonia. Mungkin kerana keadaan cuaca yang sedang panas ketika itu. Disebabkan Bonia tinggal di wad bersalin tingkat dua, sukar untuk menangkap gambar anak-anaknya. Lagipun kami ingin memberi sedikit privasi kepada Bonia. Haha.

Jadi sehingga kini, sebanyak 17 ekor anak arnab yang telah dilahirkan di Taman Arnab Zamrud tetapi sebanyak 3 ekor telah mati. Setakat ini ada 14 ekor arnab yang masih hidup. Saya harap keempat-empat belas ekor anak arnab ini akan hidup dan membesar dengan sihat. Amin.

Kami juga sedang menyiapkan reban tambahan mudahalih di bengkel besi saya. Saya membuat reban bateri tiga tingkat yang boleh disambung-sambung kelak di ladang arnab di Kampung Tok Pedu. Kali ini kami menggunakan buluh sebagai lantai dan GI flashing sebagai bumbung merangkap perangkap tinja dan air kencing arnab. Nanti bila siap akan saya sertakan gambarnya di sini.

Penangan Tinja dan Air Kencing Arnab sebagai Baja.

Ini saya sertakan gambar kacang kelisa @ botol yang berkhasiat untuk memperbanyakkan susu ibu arnab yang baru bersalin ataupun masih dalam masa belum ceraikan susu anaknya. Gambar ini ditujukan khas buat dj dan rakan-rakan penternak yang tidak mengenali kacang kelisa.

Saya memang ada menanam pelbagai sayuran sebelum saya mula menternak arnab lagi, kerana kami sekeluarga amat meminati ulam-ulaman seperti kacang kelisa, ulam raja, daun silom, beluntas, mulberry, kaduk, dan cekur. Kami juga ada menanam ubi kayu, keledek, kangkung, maman, anggur, belimbing buluh, belimbing besi, daun kesum, pandan, cermai, mata kucing, limau kasturi, limau purut, kunyit, serai, lengkuas, kantan, karipulai dan pelbagai lagi untuk kegunaan sendiri.
Anggur ini telah saya petik, kemudian baru saya teringat untuk merakam gambarnya.
Seronok bila dapat menuai hasil tanaman sendiri. Anggur yang telah lama saya tanam (hampir 7 tahun), akhirnya berbuah dan kami terkejut kerana anggur itu amat manis sekali. Alhamdullilah selepas saya menggunakan tinja dan air kencing arnab sebagai baja, tanaman di halaman rumah saya menjadi amat subur dan mula berbuah. Jadi, tinja dan air kencing arnab eloklah dimanfaatkan daripada dibiarkan dan dibazirkan begitu saja. Saya ada membuat baja kompos daripada tinja arnab ini dan telahpun ditempah oleh seorang penanam sayur. Harga tinja arnab boleh mencecah sehingga RM8/kg. Air kencingnya pula tidak pernah lagi saya jumpa atau terbaca harganya dimana-mana. Tapi nyata air kencingnya cukup bagus untuk tanaman dan rumput.

Dulu saya hanya membaca rencana yang mengatakan tinja arnab amat bagus sebagai baja, sekarang saya amat-amat yakin kerana telah terbukti sebegitu di halaman sendiri.

Sabtu, Januari 09, 2010

Arnab yang "Toilet-Trained"

Saya dapat Stripe dari Trina dan Jason, warga Australia yang berkhidmat di TUDM, Butterworth. Stripe adalah arnab yang "toilet trained" atau tahu pergi ke sangkarnya untuk menunaikan hajat kecil dan besar. Saya dan keluarga sangat gembira menerima Stripe tinggal di dalam rumah kami. Dia persis seekor kucing yang manja dan pandai mendengar kata. Dia akan meluru datang bila kita memanggil namanya. Begitu juga bila kami mengarahkannya masuk ke dalam sangkar apabila malam. Tetapi buat masa ini Stripe hanya faham Bahasa Inggeris dan sedang belajar menerima arahan dalam Bahasa Melayu pula!

Apabila kami membeli Stephanie untuk dijadikan kawan Stripe, Stephanie tidak pandai seperti Stripe. Kami kena sabar dalam melatih Stephanie supaya "toilet trained" juga dan nyata dia sekarang terlatih seperti pakwenya. Tetapi sekali-sekala dia terlepas juga. Macam kanak-kanak juga. Tapi seperti juga menghadapi kerenah anak-anak, kita juga mesti sabar dengan kerenah arnab. Tetapi tidaklah serumit mana.

Kini kami amat gembira dengan Stripe dan Stephanie. Apabila pulang dari perjalanan jauh atau saya berada lama di luar, Stripe dan Stephanie akan berlari-lari riang mengelilingi saya.

Saya bercadang untuk melatih setiap arnab hiasan jualan saya supaya "toilet-trained" untuk menyenangkan bakal tuan punya arnab dari Arnab Zamrud. Sesiapa yang berminat, sila hubungi saya.

Ahad, Januari 03, 2010

Patah tumbuh hilang berganti

Semasa saya ke Ipoh tempohari dan membeli dua ekor anak arnab betina (Joy dan Munchy), saya ada beli pellet yang mahal sedikit dari yang selalu saya gunakan. Konon-kononnya nakkan arnab saya jadi sihat sebab bau pellet itu memang sedap dan warnanya yang seakan lebih cantik dan bersih. Setelah pellet lama hampir habis, saya mula menggunakan pellet baru dengan mencampur kedua-dua pellet. Anak-anak nampak gemuk dan sihat untuk beberapa hari. Rupa-rupanya arnab itu bukannya gemuk tetapi perut mereka buncit kerana kembung. Dalam masa empat hari, 7 ekor anak arnab telah mati. Keempat-empat anak arnab (Yogurt, Kanon, Oreo dan Candak) yang dibeli di Kuala Kangsar telah mati. Kemudian diikuti Joy, Jack (Holland Lop) dan Junior 1 (NZW). Saya betul-betul sedih kerana kehilangan mereka terutamanya Jack dan Junior 1. Mula-mula saya ingatkan saya terlebih beri hijauan tetapi kedua-dua Holland Lop itu tidak pernah saya beri makan hijauan.

Kemudian saya dapati arnab-arnab dewasa pula mula bertinja lembut. Baru saya terfikir akan penggunaan pellet baru itu. Silapnya saya dalam menilai pemakanan arnab. Terus saya ke kedai membeli pellet arnab yang biasa saya gunakan. Alhamdullilah, tinja mereka mula kelihatan seperti biasa. Ini adalah satu pengajaran yang amat berguna kepada saya dan saya harap anda juga mengambil ikhtibar dari cerita saya ini.

Dalam sibuk-sibuk anak-anak arnab ini mati, pada 28/12/2009, Beyonce telah melahirkan 4 ekor anak yang mirip Stripe tetapi mereka bukan anak Stripe tetapi Elvis.
Dayang juga telah melahirkan 3 ekor anak pada 2/1/2010. Ini merupakan kelahiran pertama kepada mereka.
Saya harap mereka akan membesar dengan sihat dan boleh menjadi induk dan pejantan yang baik. Kedatangan anak-anak baru ini sedikit sebanyak mengubat kesedihan di hati. Patah tumbuh hilang berganti.

Isnin, Disember 21, 2009

Sistem minuman berperanti.

Saya sedang mencuba untuk memasang sistem minuman menggunakan peranti. Sistem perpaipannya telahpun siap sebulan lalu. Saya sudah cuba mencari peranti yang sesuai di kedai-kedai akuarium dan binatang kesayangan serta di kedai hardware tapi tidak berjumpa. Saya juga telah mencari di kedai-kedai perkakasan paip air. Tak juga jumpa. Sudahnya saya nekad untuk cuba membuat sendiri peranti tersebut. Saya beli bola besi "bearing" dan paip tembaga penghawa dingin bersaiz 1/4" atau dua hun. Beberapa kali cubaan dibuat untuk mendapatkan peranti yang sesuai. Dua biji bola bearing nampaknya tidak cukup berat untuk menahan air daripada keluar laju. Tiga biji agak sesuai. Dua hari saya menggunakan sistem ini. Hari ketiga bola dan tembaga mula berkarat dan air mula menitis secara berterusan. Saya memang ada membuat perbandingan kos jika menggunakan paip dan bola stainless steel tetapi kosnya menyamai harga "feeder bottle". Jadi tidak berbaloi untuk menggunakan bahan ini.


Minggu lepas saya telah menghantar paip tembaga itu ke kilang "chrome" dan sepatutnya boleh diambil Khamis lepas, tetapi saya agak sibuk dengan tender pembinaan dan hal imigresen pekerja-pekerja Indonesia saya. Sepanjang siang hari ini juga saya sibuk hingga tidak berkesempatan untuk singgah mengambilnya. Esok pula kami, lima keluarga, 31 orang semuanya (kecuali Saiful yang kena menjaga arnab-arnab) akan bermandi-manda di Lost World of Tambun atas permintaan anak-anak dan sepupu-sepupu mereka. Mesti habis di sana sepanjang hari juga....

Bola "bearing" yang telah ada tidak boleh dichromekan jadi terpaksalah saya beli bola stainless steel yang berharga RM1.40 sebiji. Stainless steel lebih berat dari besi keluli lembut (mild steel), jadi mungkin dua biji sudah memadai. Jika tidak, saya perlu cari spring pula untuk menahan bola-bola tersebut. Tidak berbaloi jika kena guna sehingga tiga biji bola. Baik beli sahaja feeder bottle dan cabut sahaja muncungnya. Lalu sambungkan sahaja ke sistem perpaipan yang telah siap itu.

Nanti saya akan kemaskini hal sistem minuman peranti ini. Yang penting kita kena cari bahan yang efektif, mudah diselenggara dan murah.

Semasa permulaan dulu saya ada beli pasu minum dan makan dari pasu tanah liat yang berharga antara Rm5.50 dan Rm9.00 sebiji. Ianya mahal, berat, mengambil ruang (space consuming) dan susah diselenggara. Saya ini agak cerewet fasal kebersihan jadi pasu-pasu itu saya cuci dua kali sehari! Ini baru 22 ekor. Saya kena fikirkan cara yang mudah dan murah jika mahu memperbesarkan ternakan saya nanti.

Saya juga adalah seorang pengamal kitar semula. Jadi dalam stor bawah tangga ada banyak botol-botol plastik kutipan setiap bulan (Saya jual segala barangan bolehkitarsemula setiap bulan ke keling botol).

Kini, saya telah gunakan botol plastik jus dan minuman berkarbonat (botol air mineral tidak sesuai, terlalu lembut) untuk bekas minuman dan makanan. Sudah dua hari saya cuba dan ianya amat memuaskan. Tiada tanda-tanda arnab menggigit botol-botol tersebut. Nanti saya sertakan foto. Saya harap ianya berpanjangan.

Rabu, Disember 16, 2009

Pak Lop dan Mak Lop

Pagi tadi selepas menghadiri lawatan tapak di USM, dan makan sushi di Queensbay Mall, saya dan anak-anak pergi ke kedai akuarium. Faqihah pula nakkan ayam piru atau belanda selepas semalam saya beli sepasang anak itik angsa.

Terdapat dua sangkar anak arnab Mix Anggora dan satu sangkar Lop Ear. Saya memang lama menginginkan Lop Ear, jadi saya beli sepasang anak Lop Ear seperti gambar yang dibawah. Ada seekor betina yang cantik berwarna kelabu tetapi bila saya periksa, punggungnya agak kotor. Jadi saya tidak mahu mengambil risiko terbeli arnab yang agak mahal ini yang mungkin mengalami cirit-birit. Kami belum namakan mereka lagi. Saya harap mereka membesar dengan sihat dan produktif.
Punyalah teruja dengan arnab ini, terlupa nak beli anak ayam belanda yang Faqihah minta. Hehe.